Tambah malang, mangsa, Rosniza Fadzil, 30, kemudian dilanggar lari oleh sebuah kereta lain yang melalui jalan berkenaan kira-kira lima minit selepas terjun daripada kereta jenis Proton Wira milik bekas suaminya berusia awal 50-an.
Difahamkan, Rosniza yang be­kerja sebagai tukang masak di Taman Siswa, Jitra dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lengkuas ke tempat kerja sebelum motosikal Yamaha Ego yang ditungganginya dikatakan dihimpit oleh kereta dipercayai dipandu bekas suaminya itu.
Mangsa dipaksa masuk ke dalam kereta itu oleh bekas suaminya dan ketika tiba di Simpang Pinang Jaya, Bukit Pinang di sini, dia bertindak terjun kerana mahu melarikan diri.
Akibat kejadian tersebut, mangsa yang mengalami pendarahan pada kepala dan patah kaki kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Saksi kejadian, Nor Ain Abd. Kadir, 57, berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi di depan gerai makan miliknya ketika dia sedang membungkus nasi lemak.
“Saya nampak sebuah kereta Proton Wira dari arah Kampung Lengkuas ke Kepala Batas dibawa laju melalui jalan di depan gerai saya.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dan ternampak seorang wanita yang memakai seluar jeans dan baju t-shirt jatuh terlentang di tepi jalan. Saya nampak ada tali pengikat kain langsir yang telah terungkai pada kedua-dua tangan wanita tersebut.
“Orang ramai yang melihat kejadian ini ingin mengalihkan wanita tersebut namun secara tiba-tiba ada kereta lain yang datang lalu melanggar wanita berkenaan,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Dalam pada itu, ibu mangsa, Roshilah Abu Bakar, 57, berkata, dia mengesyaki bekas suami yang telah tiga kali bercerai dengan anak perempuannya itu melakukan perbuatan tersebut kerana sebelum ini lelaki berkenaan telah dua kali menyerang anaknya di rumah mereka.
“Anak saya telah berkahwin lebih kurang enam tahun dengan lelaki tersebut dan dalam tempoh itu mereka telah bercerai dan rujuk semula.
“Namun apabila telah bercerai buat kali ketiga dan tidak boleh rujuk semula bekas suami anak saya ini mula datang ke rumah dan bulan lalu dia mencekup muka anak saya dengan sarung bantal. Awal bulan ini dia menjerut pula leher anak saya dengan tali sehingga dia terpaksa dimasukkan ke hospital,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Kota Setar, Asisten Komissioner Adzaman Mohd. Jan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.
“Ekoran kejadian itu, polis sedang mencari seorang lelaki, Rodhi Kasa, 53, bernombor kad pengenalan 620601-08-6485 untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.