Rabu, 4 September 2013

Subsidi rakyat ditarik, pemimpin hidup mewah

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil perhatian kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan menarik subsidi minyak secara mengejut.

Alasannya adalah untuk mengelakkan aktiviti spekulasi harga yang dijangka akan menimbulkan pelbagai isu sampingan yang lain. Namun, kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid, yang menjadikan kejutan rakyat ialah apabila pengumuman itu tidak menjelaskan kenapa ia harus berlaku secara mendadak.

“Jika tujuannya adalah untuk merasionalisasikan aliran perbendaharaan kerajaan bagi menangani bajet defisit, maka bagi kami apabila PM menyatakan bebanan rakyat boleh ditampung melalui menambah kuatum BR1M, bagi kami ini adalah polisi yang salah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, BR1M hanya merupakan ubat ‘tahan sakit’ yang boleh menghilang rasa sakit untuk waktu yang sebentar. Namun, ujarnya dalam jangka masa panjang ia bukan satu ubat yang mujarab terutama bila pesakit berada dalam keadaan yang kritikal.

“Kami berpandangan rasionalisasi subsidi dengan cara menambahkan BR1M tidak bijak dan bukan pendekatan yang berkesan untuk mengatasi isu kenaikan kos hidup seharian di kalangan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. “Kami mengambil perhatian apabila PM mengumumkan penjadualan semula beberapa projek mega berdasarkan kos barang import yang diguna,” katanya lagi.

Justeru, katanya Mapim berpandangan seharusnya hal ini sudah dipertimbangkan sejak dari awal, menangguh projek yang sedang dibina sebaliknya akan menambahkan kos kerana pemaju tidak akan mahu menanggung beban kos akibat penangguhan.

Tambah beliau, pihaknya menerima hakikat subsidi bukan suatu cara yang boleh bertahan lama kerana wang rakyat yang tidak diurus dengan baik sehingga dihabiskan untuk membayar subsidi yang tinggi adalah tidak produktif untuk jangka masa panjang.

Walau bagaimanapun, katanya jika suatu pentadbiran tidak bijak mengawal ketirisan dan tidak mampu mengawal perbelanjaan yang membazir dan boros, maka penarikan subsidi tidak akan memberi manfaat yang sepatutnya kepada rakyat.

Sebab itu, jelasnya Mapim berpendapat penarikan subsidi jika tidak diimbang dengan peningkatan integriti pengurusan kerajaan, akan mengakibatkan sebarang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pasti akan memberi kesan yang parah kepada rakyat marhaen.

“Kami mendapati rakyat masih tidak berpuashati terhadap uruskelola kewangan negara. Terlalu banyak perbelanjaan yang tidak rasional seperti BR1M, berbelanja untuk hari perayaan dan acara peresmian persidangan dan mesyuarat kerajaan yang melampau oleh hampir semua agensi kerajaan, lawatan keluar negara oleh pemimpin negara  yang mengguna wang awam yang sangat tinggi dan tidak beretika dan pembeliaan alatan kerajaan yang melanggari prosedur sehingga membazir seperti dicatat dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya.

Semua itu, kata Mohd Azmi dilihat oleh rakyat sebagai ketidakwajaran kerajaan membeban rakyat dengan kenaikan harga minyak.

Katanya, di satu pihak rakyat diminta memahami beban subsidi adalah tidak rasional untuk ekonomi negara, di satu pihak yang lain rakyat melihat pemimpin negara hidup mewah, tidak perlu berbelanja wang sendiri untuk membayar bil bulanan dan tidak perlu risau berfikir berapa wang tunai yang ada untuk mengisi minyak kenderaan.

Najib pada petang 2 September lalu mengumumkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter menjadikan harganya RM2.10 daripada RM1.90 berkuatkuasa tengah malam itu.

Bermula tengah malam tadi, petrol RON97 pula dinaikkan harga 15 sen seliter kepada RM2.85 berbanding RM2.70 sebelumnya.

Sumber:http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/21800-subsidi-rakyat-ditarik-pemimpin-hidup-mewah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan