Hari Kekasih atau lebih tepat disebut Valentine Day diraikan oleh penganut agama Kristian pada 14 Februari setiap tahun.
Tujuan ia diraikan adalah sebagai memperingati dua orang paderi bernama Valentine yang berasal dari Rom dan Terni.
Kedua-dua paderi tersebut dikatakan telah mati demi mempertahankan agama Kristian.
Hari Valentine pada awalnya tidak sedikitpun berkait dengan cinta asmara.
Ia dikatakan hanya dikaitkan dengan pengorbanan terhadap agama.
Namun setelah puisi yang dikarang oleh Geoffrey Chaucher untuk majlis ulangtahun pertunangan Raja Richard II disalahertikan oleh pembaca, Hari Valentine menjadi sinonim dengan cinta dan kasih sayang.
Di seluruh dunia ramai yang turut meraikan hari tersebut walaupun berbeza pegangan agama.
Ia diraikan dengan memberi hadiah, coklat, kad ucapan dan bunga-bungaan kepada pasangan masing-masing.
Penganut agama Islam juga tidak ketinggalan meraikan Hari Valentine walaupun hukum meraikan sambutan tersebut sudah dibincang dan diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada tahun 2005.
Di dalam persidangan tersebut, telah diputuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Ianya mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang Islam.
Muzakarah juga berpendapat bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tiada hari tertentu untuk meraikannya.
Pada tahun 2011, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM telah melancarkan kempen ‘Awas Jerat Valentine’s Day’ di seluruh negara dengan menghalang umat Islam daripada menyambut perayaan itu.
Pelbagai langkah diambil di dalam kempen tersebut termasuk menyerbu hotel untuk menghalang pasangan kekasih daripada melakukan khalwat dan perbuatan tidak bermoral serta mengedarkan risalah kepada mahasiswa universiti yang beragama Islam tentang larangan Hari Valentine.
Namun begitu, walaupun pihak JAKIM sudah menjalankan pelbagai langkah pencegahan, masih ramai juga umat Islam terutama di kalangan remaja yang diberkas dan didakwa di Mahkamah Syariah akibat mengingkari larangan dan melakukan maksiat ketika meraikan Hari Valentine.
Merayakan Hari Valentine tidak memberikan sebarang faedah kepada umat Islam.
Selain daripada melanggar larangan agama, menyambut Hari Valentine juga boleh menimbulkan masalah sosial yang lebih teruk.
Bermula dengan janji temu, bertukar-tukar hadiah, para remaja terjebak melakukan maksiat dan akhirnya mengundang gejala sosial seperti pengguguran dan pembuangan bayi yang tidak berdosa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan