Rabu, 25 Februari 2015

10 Petua Perkembangan Mental Anak 0-3 Tahun Menurut Pakar Psikiatri Kanak-kanak


Assalamualaikum.

Anak-anak harta yang sangat berharga. Saya nak kata anak-anak umpama kanvas kosong, ibu bapa yang mencorakkannya. Tapi terlalu cliche, kan? Bila terlalu cliche selalunya tak sampai makna. Jadi saya suka nak kata anak-anak ni yang datangnya dari benih seorang bapa dan bercantum dengan benih seorang ibu, maka membesarnya pun seperti pohon. Ibu bapa yang menyemai dan membaja, penentu sama ada pohon itu akan hidup sihat, subur dan berbuah lebat untuk memberi manfaat kepada orang lain. Atau pun cuma sebatang pokok tak berbuah, hidupnya tak bermanfaat dan tak juga memberi kebaikan kepada orang lain. Nauzubillah.


Ramai warga Facebook dah tekan "Share" apa yang saya nak kongsikan hari ini. Tapi saya nak kongsikan jugalah, supaya lebih ramai dapat baca. Dan supaya saya sendiri pun tak lupa. Terima kasih kepada kakak tersayang sebab share beliau yang menggerak saya membaca artikel asal tentang ini.

Berikut adalah 10 kaedah yang dikongsi oleh Pakar Psikiatri Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Mdm Sherine Ann Selvarajah. Bukan calang-calang ahli psikiatri, Dr. Sherine memang orang yang dikenali dalam bidangnya. Sila klik sini untuk baca latar belakang Dr. Sherine.

Tips-tips ini telah diperoleh daripada ibu salah seorang pesakit beliau. Ibu tersebut telah kongsikan di blog beliau di sini (sila klik untuk baca artikel asal). Jom fahami apa dia 10 tips yang Dr. Sherine kongsi.

1. Biasakan dan kerapkan anak bermain dengan pasir, buih, rumput dan plastisin
Tujuannya untuk merangsang motor dan sensory skill anak-anak. Beri anak pegang dengan tangan dan rasa dengan kaki. Tanggalkan kasut atau stokin anak. Biar anak-anak dapat pengalaman itu. Buat masa ni

Kautsar belum lagi didedahkan dengan pengalaman menyentuh dan bermain dengan pasir, buih, rumput atau plastisin. Sebab Kautsar baru 5 bulan, duduk pun belum pandai. Kalau dapat pegang sesuatu, terus masukkan ke mulut. Jadi tak sesuai bagi Kautsar pegang pasir dan sebagainya. Tapi pengalaman melihat sudah banyak juga. Sejak Kautsar dah berminat melihat persekitaran dan memberi respon, kami suami isteri sering dedahkan Kautsar dengan macam-macam persekitaran. Setakat usianya 5 bulan ni, Kautsar dah pernah lihat pantai, ombak, sawah, dah merasa suasana kampung dan bandar, dah bermain dengan kucing, dah pernah lihat lembu, kuda, pernah naik kereta, motor, kapal terbang, pernah ke shopping complex, pasar malam, taman, tasik, pernah ikut ibu jaga peperiksaan hujung minggu, pernah ke pejabat abah teman abah buat kerja. Senang kata kami suami isteri memang suka dedahkan Kautsar dengan persekitaran berbeza. Dan setiap kali balik kampung Kautsar selalu dengan orang lain, tak melekat dengan kami saja.

2. Jangan terlalu dedahkan anak-anak dengan things in the box
Things in the box merujuk kepada gadget seperti tv, tablet, smart phone. Jangan tinggalkan anak-anak bersendirian dengan gadjet kerana akan membantutkan perkembangan saraf mata, badan dan otak. Anak-anak akan jadi kurang responsif, kurang sensitif, kurang empati, dan pasif. Dr Zubaidi pernah kata, boleh tengok video di youtube atau tonton tv dengan anak-anak asalkan ibubapa ada bersama berinteraksi dengan anak-anak sepanjang menonton. Contoh paling saya suka, kakak kesayangan saya selalu tonton video dengan anak perempuannya yang berusia 2 tahun. Setiap kali menonton, kakak akan ceritakan apa yang mereka tonton, buat bunyi, ekspresi wajah dan macam-macam lagi. Seolah-olah video itu silent, kakak sayalah yang jadi pencerita. Anak saudara saya sampai hari ini sangat attentive, aktif, suka bermain dan tak takut dengan orang. Rajin berbual pun ya juga. Menurut Dr Sherine, tak salah bagi anak menonton things in the box asalkan setiap sesi tak lebih daripada 10 minit.

Setakat ini Kautsar cuma menonton beberapa video muzik kanak-kanak, setiap satu tak sampai 5 minit. Itu pun jarang kami bagi Kautsar tonton sebab Kautsar lebih berminat memegang dan bermain dengan tangan.

3. Rangsang imitation skill anak-anak
Imitation skill ialah skil meniru. Ibubapa digalakkan merangsang skil meniru pada anak-anak dengan cara buat satu perkara dan minta anak buat semula. Buatlah apa-apa yang mudah anak tiru. Tepuk tangan. Lompat. Angkat tangan. Sebut perkataan. Setakat hari ini Kautsar pandai senyum dan ketawa bila kita senyum atau ketawa dengannya. Menurut Dr Sherine, merangkak merupakan skil yang sangat bagus sebab melibatkan semua anggota badan. Biar anak merangkak lama-lama, tak apa, sebab dapat menjana minda yang lebih aktif.

Kautsar mula meniarap pada hari pertama masuk usia 3 bulan. Sampai sekarang usianya 5 bulan, dah laju menyusur dan bergolek. Memang tak boleh tinggal, sekejap dah ke mana-mana. Tunggu hari saja Kautsar pandai merangkak. Sekarang memang giat mengangkat badan sambil sengih-sengih tak ada gigi. Hihi.

4. Banyakkan concept toys berbanding permainan superhero, monsters dll
Concept toys adalah permainan yang berasaskan pengetahuan, contohnya blok ABC, Lego, blok warna, bentuk dan sebagainya. Permainan begini menambah perbendaharaan kata (vocab) anak-anak selain membantu proses pembelajaran anak. Anak cepat belajar dengan bermain concept toys. Elakkan memberi anak permainan superhero atau dolls seperti Ultraman, Buzz Lightyear, Barbie dan yang sewaktu dengannya sebab permainan superhero dan fairy tales sangat tak berkait dengan realiti. Permainan begini boleh mengganggu konsep anak-anak berkaitan realiti. Anak-anak dibimbangi akan terlalu attach dengan khayalan dan gagal mengenal realiti.

Mainan Kautsar sekarang banyak berkait dengan bunyi, warna, tekstur dan teether (sebab gusi dah mula gatal kan). Kami tak banyak berhabis beli mainan, sebab di peringkat usia sekarang, Kautsar lebih perlukan komunikasi dan interaksi dengan orang sekeliling, barulah Kautsar pandai beri respon. Tapi kami tetap pastikan ada beberapa mainan yang sesuai dengan usia dan perkembangan minda Kautsar. Tak perlu berlebihan dalam bab-bab mainan.

5. Ajar perkataan sebelum mengajar ayat
Bila mengajar anak bercakap, elakkan menggunakan ayat penuh. Sebaliknya perkenalkan perkataan kepada anak berulang kali hingga anak kenal objek yang kita katakan. Contohnya jika mau perkenalkan buku kepada anak, cakap "Buku" saja sambil tunjukkan buku itu. Elakkan cakap "Ini buku" atau "This is a book".

Saya dah mula ajar ABC kepada Kautsar sejak usianya 3 bulan. Cuma sebut A - apple, B - ball begitu saja. Kautsar belum faham, tapi Kautsar boleh dengar. Bila travel dalam kenderaan dan Kautsar mula tak keruan, selalu saya sebutkan ABC hingga Z kepada Kautsar. Alhamdulillah Kautsar cam sebutan itu dan mesti senyum-senyum bila dengar.

6. High-5 untuk anak-anak yang takut pada orang
Kalau anak takut pada orang lain, contohnya takut pada atuk, jangan minta anak salam atuk. Sebaliknya cuba minta atuk High-5 anak anda. Perbuatan High-5 melibatkan body contact yang minimum sekaligus memberi isyarat kepada anak anda yang orang itu tak memberi bahaya.

Kautsar belum pandai salam, peluk, cium mahupun High-5. Tapi setakat ni Kautsar cepat takut pada orang lelaki yang suaranya garau. Di kampung suami, sepupu sepapat suami yangkami jarang jumpa bawa Kautsar ke kedai Kautsar tak takut pun. Tak menangis. Alhamdulillah.

7. Jangan marah, sebaliknya beri penjelasan jika anak-anak buat salah
Anak-anak pada umur 0-3 tahun masih belum kenal betul dan salah. Jika anak buat salah, janganlah marah. Sebab mereka tak tahu dan tak faham pun yang mereka buat itu salah. Sebaliknya jelaskan kenapa perbuatan itu salah. Penjelasan akan bantu anak anda belajar bezakan antara betul dan salah, baik dan buruk.

Walaupun Kautsar belum faham kata-kata, tapi bayi sekecil Kautsar mengerti intonasi dan riak muka. Kami suami isteri cuba yang terbaik untuk pastikan Kautsar lihat dan dengar yang baik-baik saja. Kalau Kautsar meragam, pujuk saja perlahan-lahan.

8. Overly-attached bukan petanda baik
Anak yang terlalu attached pada seseorang contohnya ibu atau bapa dikhuatiri akan mengalami masalah self-esteem. Biasakan anak bergaul dengan orang lain terutamanya ahli keluarga.

Alhamdulillah tak banyak masalah Kautsar dalam hal ini. Mula-mula memang Kautsar takut-takut, tapi biasanya lama-lama tak jadi masalah. Kena biasakan saja sebab Kautsar kan tinggal bertiga dengan ibu dan abah saja, sekali sekala berjumpa saudara ambil masa sikit untuk Kautsar sesuaikan diri. Dah lama-lama ok saja.

9. Bermain mengikut minat anak
Kalau anak nak bermain sesuatu permainan, layanlah. Jangan kita pula ajak main permainan lain. Sebab kajian menunjukkan otak anak berkembang paling maksimum ketika anak melakukan perkara yang diminatinya dengan gembira.

Alhamdulillah Kautsar senang gembira buat apa sekalipun. Cuma bila Kautsar nampak batang hidung ibu yang penyek ni, mulalah Kautsar mengada-ngada nak ibu main sama. Hihi.

10. Beri pilihan jawapan
Vocab anak-anak masih terhad. Mereka selalunya faham soalan kita, tapi tak reti nak jawab semula. Jangan biarkan anak-anak diam tak menjawab pertanyaan. Beri pilihan jawapan supaya mereka boleh pilih. Contohnya jika kita tanya, "Kautsar nak main apa? Kautsar nak main bola, atau nak baca buku?"
Alhamdulillah. Saya didedahkan dengan maklumat begini seawal usia Kautsar masih beberapa bulan. Jadi memang banyak perubahan yang boleh saya lakukan. InshaAllah cuma yang terbaik untuk anak ibu. Jom ibu-ibu kita sama-sama amalkan.

Harap bermanfaat :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan