Jumaat, 6 April 2012

Rahsia Disebalik Laungan Azan

Azan sudah berusia 1429 tahun dan disyariatkan di Madinah al- Munawarrah. Diriwayatkan bahawa azan diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama hijrah. Ketika itu, orang-orang yang berhijrah ke Madinah berkumpul untuk menunaikan solat. Terbit persoalan pada waktu itu bagaimana caranya memberitahu umat Islam masuknya waktu solat dan menyeru secara langsung kepada mereka untuk bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah.
Sudah pasti perlunya satu mekanisme yang praktikal dan mudah serta satu cara yang merangkumi perlambangan dakwah Islamiah yang menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Pada saat itu, diriwayatkan Abdullah Bin Zaid dan Umar bin al-Khattab telah bermimpi mengenai lafaz azan. Rasulullah membenarkan mimpi mereka dan meminta Bilal bin Rabah melaungkannya.Azan merupakan satu lafaz khusus yang menyeru umat Islam menunaikan solat dan melakukan solat berjemaah. Mengerti dari aspek harfiahnya, azan membawa maksud ‘al-I’lam’ (pemberitahuan) atau ‘an-nida’ (seruan).
Al-Quran, as sunah dan al-ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dihukumkan sebagai sunat muakkad dan fardhu kifayah bagi umat Islam.
Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat. Azan juga harus diseru oleh muazzin (orang yang melaungkan azan) yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis. Dilaksanakan dengan mengadap kiblat dengan suara yang nyaring tetapi merdu.
Dilafazkan dengan jiwa yang benar, azan hadir bukan sahaja sebagai satu peraturan bagi umat Islam mengerjakan solat. Malah, azan juga dilaungkan ketika bayi dilahirkan, jenazah dikebumikan, ketika menghadapi bencana dan gangguan jin atau syaitan dan azan juga diselitkan ketika mengerjakan sesuatu yang baik. Pendek kata azan adalah perantaraan untuk memohon rahmat dan berkat serta kekuatan, kesyukuran dan sebagainya buat umat Islam.
Lafaz azan menyimpul kesatuan yang merangkumi aspek tauhid (akidah), ibadah dan akhlak muslim yang sejati. Hal ini terlihat jelas melalui seruan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari untuk mengajak umat Islam mendepani kehidupan dengan sempurna.
Dengarlah azan itu sambil pejamkan mata mu dan kunci rapat mulut mu supaya tidak ada satu perkataan yang keluar. Rasakan apa kesannya. Bukankah seruan suci itu terasa seperti terus menikam ke jantung. Azan memberi impak yang besar di dalam kehidupan manusia. Bahkan sesuatu yang cukup indah, sukar digambarkan dengan kata-kata. Banyak peristiwa yang berlaku disekeliling kita yang memperlihatkan azan itu satu yang ajaib dan indah. Antaranya kisah salah seorang mangsa yang terselamat dari bencana tsunami Acheh. Dia seorang diri dihanyutkan ombak besar. Ketika itu dia teringat pesanan ibunya supaya melaungkan azan jika ditimpa musibah. Lantas selesai azan dilaungkan, dia sudah terdampar di atas kapal besar yang dibawa hanyut hingga ke tengah-tengah bandar Aceh. Bila menyentuh soal azan kebanyakan orang hanya tahu dua perkara iaitu azan adalah seruan penanda masuk waktu solat dan untuk bayi baru lahir. Seorang bayi yang baru dilahirkan diazankan untuk memasukkan pesanan tentang keagungan Allah. Tujuannya supaya bayi itu nanti faham apa saja di dalam hidup ini akan kembali kepada kebesaran Allah.
Azan yang dilaungkan oleh muazin bukan sekadar untuk menyeru solat tetapi bertindak sebagai penstabil gelombang dunia. Gelombang azan rendah sedangkan gelombang dunia tinggi. Jadi azan menstabilkan balik supaya dunia menjadi tempat yang selesa untuk dihuni.Andainya suatu masa nanti tidak ada lagi azan dilaungkan maka gelombang dunia ini akan menjadi semakin tinggi dan macam macam akan berlaku. Suatu masa dulu, kajian yang dilakukan mendapati semua pokok dan alam ini berada pada tahap gelombang alpha. Sebab itu apabila berada di kawasan yang dikelilingi pokok, kita akan merasa tenang. Sekarang keadaan telah berubah apabila pokok-pokok sudah ditebang dan binatang banyak yang pupus menyebabkan manusia berada di dalam gelombang beta iaitu gelombang stress.
Ketahuilah bahawa pada setiap waktu, ribuan bilal di merata dunia akan melaungkan azan, mengakui 'Bahawa Allah Sahaja Yang Patut Disembah, dan Nabi Muhammad Adalah Rasul Allah.' Dimulakan dengan Indonesia yang terletak dibahagian timur dengan ratusan kepulauan-nya dan jumlah penduduknya seramai 180 juta.
Sebaik masuk waktu Subuh, Azan mula berkumandang dari kawasan ini dengan ribuan Bilal yang akan melaungkan Ke-Agungan Allah S.W.T Dan Nabi Muhammad S.A.W. Proses ini akan bergerak ke arah barat kepulauan Indonesia . Perbezaan masa antara timur dan barat Indonesia adalah 1-1/2 jam.Belumpun laungan Azan dimerata Indonesia selesai, ianya bermula pula di Malaysia. Berikutnya di-Burma dan dalam masa satu jam selepas Azan dilaungkan di-Jakarta, tiba giliran Dacca di Bangladesh. Berikutnya laungan akan kedengaran di Calcutta dan terus ke Srinagar dibarat India. Perbezaan waktu dikota-kota Pakistan adalah 40 minit jadi dalam jangka masa ini, Azan akan berkumandang diseluruh Pakistan. Belum berakhir di-Pakistan, Azan akan bermula pula di Afghanistan dan Muscat. Perbezaan waktu antara Muscat dan Baghdad adalah satu jam. Dalam jangka masa ini, Azan akan berterusan dilaungkan di UAE, Makkah, Madinah, Yaman , Kuwait dan Iraq . Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik. Jarak masa Azan mula dilaungkan di Indonesia sehingga ke pantai timur Atlantik adalah 9-1/2 jam.Belumpun Azan Subuh berkumandang di pantai Timur Atlantik, Azan Zuhur kini sudah mula dilaungkan di Indonesia. Ini berterusan bagi setiap waktu sembahyang, tidak putus-putus. Subhanallah, begitu hebat dan agungnya Islam!
Laungan Azan juga adalah titik pertama dalam mendidik anak-anak atau bayi yang baru lahir kedunia ini. Lahirnya seorang anak Adam ke atas muka bumi ini adalah ibarat sehelai kain putih ibu bapalah yang akan mencorakkan sama ada mahu menjadikan bayi itu Yahudi, Nasrani atau Majusi. Dalam Laungan Azan diterapkan Bahawa Allah itu Maha Besar. Kalimah Syahadah yang merupakan kunci syurga. Mengajak kita menunaikan solat, mengajak kita menuju kejayaan…
Ini adalah titik awal penerapan ilmu Islam… Disunatkan kita melaungkan Azan di telinga sebelah kanan dan telinga kiri. Dan sebaik-baiknya diazankan oleh bapa kepada bayi itu untuk mengeratkan perhubungan antara anak, ibu dan bapa. Ini boleh mengelakkan anak-anak itu derhaka apabila mereka besar suatu hari nanti.
Namun pada hari ini, kebanyakkan kita menyuruh orang lain untuk mengazankan bayi kita. Kenapa? Alasannya mereka mengatakan mereka tidak pandai melaungkan azan.. Apa bodohnya mereka itu.. Kahwin tahu tetapi azan tak tahu… MasyaAllah… Renungkanlah…





Tiada ulasan:

Catat Ulasan