Mencari pekerjaan yang sesuai bukanlah mudah memandangkan pada masa kini pencari pekerjaan terlalu ramai berbanding pekerjaan itu sendiri. Permintaan melebihi penawaran bak kata ahli ekonomi. Sama ada kita sedang mencari pekerjaan pertama atau untuk bergerak ke atas dari kedudukan peringkat bawahan, kita perlu bijak tentang pencarian pekerjaan dan pilihan muktamad yang akan dibuat.
Pengalaman Sebagai Pekerja
Sebelum itu saya mahu bercerita tentang diri saya sebagai seorang pekerja. Sebaik tamat STPM saya menceburkan diri dalam sektor perkilangan sebagai operator biasa sebelum dinaikkan sebagai ketua dalam tempoh 4 bulan. Kenaikan gaji juga memberangsangkan sebelum berhenti dan menyertai CIMB. Apabila keputusan STPM keluar, saya ditawarkan ke UiTM dan Maktab Perguruan Durian Tunggal, Melaka. Tetapi saya tetap di CIMB dan menolak kesemua tawaran tersebut. Betulkah pilihan saya?
Bidang pekerjaan yang manakah kena dengan jiwa saya? Saya pernah mendapat anugerah pekerja cemerlang di CIMB dengan jawatan terakhir sebagai PA kepada Pengurus Cawangan. Kemudian saya menyambung Ijazah separuh masa dalam bidang Pengurusan Perniagaan di OUM dan beralih arah ke bidang hartanah. Saya juga dinaikkan pangkat beberapa kali di syarikat korporat di mana tempat saya bernaung sekarang dan telah menghabiskan MBA dari UTM pada tahun 2011.
Kesimpulannya, nampak seperti semua orang dan bos sayangkan saya, betul tak? Rahsianya adalah saya mencari pekerjaan yang saya suka, minat, tahu dan sentiasa menambah pengetahuan supaya tidak ketinggalan zaman.
Tips Mencari Pekerjaan Yang Sesuai
Bagi membantu kita semua membuat pilihan yang paling bijak, periksa 8 perkara berikut yang perlu anda nilai apabila memikirkan tawaran kerja. Kenal pasti keutamaan peribadi serta pro dan kontra setiap kerja.1. Manfaat
Ini adalah sesuatu yang sering diabaikan oleh orang muda yang baru memulakan kerjaya mereka, tetapi tahukah kita bahawa faedah (benefit) kerja boleh menjadi nilai tambah sehingga 30% terhadap jumlah gaji yang kita dapat. Mulakan dengan mencari berapa banyak perlindungan perubatan dan pergigian yang kita akan dapat. Perlu juga mengambil kira faedah kewangan lain yang datang dengan kerja, seperti pembayaran balik pengajian/latihan, bonus, pembayaran balik perbelanjaan penempatan semula dan elaun-elaun lain yang bermanfaat. Jangan memandang rendah nilai faedah bukan kewangan seperti waktu kerja fleksibel dan sebagainya.
2. Persekitaran kerja
Terdapat 168 jam dalam seminggu. Jika kita menghabiskan 40 jam di tempat kerja, ini bermakna kita menghabiskan lebih kurang 1/4 minggu di sana. Sebab itu kita mesti memastikan persekitaran tempat kerja sesuai dengan jiwa kita. Banyak kriteria yang perlu diambil kira seperti etika pemakaian, saiz dan budaya bekerja syarikat, hirarki atau lebih demokratik dan sebagainya.
3. Lokasi
Lokasi juga memainkan peranan penting dalam pemilihan pekerjaan. Walaupun kerja yang ditawarkan itu memang amat diminati, tentu anda kena berfikir beribu kali jika lokasinya adalah di Kota Kinabalu sedangkan kita orang Semenanjung. Dapatkan pandangan dan nasihat daripada keluarga sebelum kita erjebak dengan keputusan yang silap. Antara yang perlu diambil kira adalah ganjaran yang diterima, kadar sewa rumah dan kos sara hidup.
4. Peluang untuk kemajuan kerjaya
Apakah bidang pekerjaan yang dipilih memberikan peluang bagi kita mengembang bakat dan kepakaran yang kita ada? Sebagai contoh, syarikat yang dipilih terdapat program-program latihan dan peluang pendidikan di tempat kerja yang membolehkan kita untuk mengasah kemahiran dan membina rangkaian kenalan perniagaan. Ini akan membuatkan kita menjadi aset yang berharga kepada syarikat
5. Tahap tanggungjawab
Tip lain adalah kita kena ambil kira juga tentang ‘authority’ yang kita kena tanggung dengan pekerjaan yang kita pilih tersebut. Jika kita kurang berkeupayaan, tiada keyakinan diri dan sering dibuli, apakah kita mampu menggalas tanggungjawab yang besar tersebut? Lebih baik pilih pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan diri sendiri!
6. Keselamatan pekerjaan
Selidik pekerjaan dan syarikat yang kita pilih samada ia mempunyai rekod sejarah lampau dalam hal keselamatan pekerjaan. Pilih syarikat yang telah lama ditubuhkan dan memiliki reputasi yang baik.
7. Kos perjalanan pergi-balik
Buatlah kira-kira tentang kos jangka pendek dan jangka panjang yang perlu ditanggung apabila memilih sesuatu pekerjaan. Kos yang tidak nampak inilah yang selalu menjadi beban pada masa depan seperti petrol, keadaan kesesakan lalu lintas dan juga bayaran tol. Jangan biarkan usia kita tua di atas jalan raya.
8. Di manakah kita mahu berada dalam sepuluh tahun lagi?
Adakah kerja yang dipilih ini akan membawa kita ke satu tangga kejayaan dengan tawaran gaji yang lumayan, ataupun kerja yang kita pilih sekarang boleh menjadikan kita seorang CEO atau ketua yang disegani. Tetapkan matlamat kita untuk 10 tahun akan datang ketika menerima tawaran sesuatu pekerjaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan