RAMAI wanita risau apabila semakin mendekati usia menopaus. Menopaus sebenarnya adalah permulaan era dalam hidup wanita yang menandakan anda semakin matang. Bagi wanita Islam, ada lebih banyak masa mendekatkan diri dengan Allah dan boleh beribadat dengan tenang kerana tiada keraguan mengenai haid.
Secara purata kitaran haid terhenti pada umur 50 atau 51 tahun. Kajian menunjukkan satu peratus wanita menopaus awal iaitu sebelum 40 tahun. Antara punca yang boleh menyebabkan menopaus awal ialah pembedahan pembuangan ovari (akibat masalah kesihatan), ovari gagal berfungsi dan menerima rawatan kemo atau radioterapi (untuk rawatan kanser).
Penurunan paras hormon estrogen ketika menopaus memberi kesan menyeluruh pada wanita iaitu daripada rambut hingga hujung kaki kerana ia membabitkan perubahan pada otak, rambut, mata, gigi, jantung, tulang, payu dara, kulit dan vagina.
Perubahan ini adakalanya turut mempengaruhi emosi wanita yang sememangnya menjadi sedikit celaru akibat ketidakstabilan hormon. Suami, anak dan ahli keluarga perlu faham perubahan dialami wanita di ambang menopaus dan emosi yang kadangkala tidak menentu kerana ia di luar kawalan wanita.
Walaupun wanita hanya dikatakan mengalami menopaus apabila haidnya berhenti selama sekurang-kurangnya enam bulan (biasanya pada umur 50 atau 51 tahun), perubahan ini boleh berlaku beberapa tahun sebelum itu secara perlahan-lahan dan berperingkat.
Tahap gangguan gejala berbeza antara individu mengikut daya ketahanan masing-masing. Namun, gangguan akibat menopaus tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana satu pertiga hidup wanita adalah selepas menopaus.
Inilah sebabnya sokongan keluarga terutama suami penting supaya wanita dapat menjalani kehidupan sebaik mungkin. Ia bertepatan dengan tema sambutan Hari Menopaus Sedunia tahun ini yang berkisar kepada penuaan sejahtera dalam usia emas.
Sememangnya ada banyak perkara baru yang perlu diambil kira sebaik memasuki era menopaus terutama dari segi kesihatan. Antara yang disentuh dalam artikel pendidikan Berita Menopos (Oktober - Disember 2010) terbitan Persatuan Menopaus Malaysia ialah saringan kesihatan untuk:
Payudara – Risiko mendapat kanser payudara meningkat mendadak selepas menopaus. Selain menjalani ujian mamogram setiap tahun, setiap wanita perlu selalu membuat pemeriksaan sendiri payudara di rumah.
Tekanan darah – Pada usia begini, tekanan darah memang mudah naik jika tidak menjaga pemakanan. Tekanan darah dan paras kolesterol yang tinggi akan mendekatkan wanita dengan risiko sakit jantung.
Tahukah anda, selepas menopaus risiko mendapat serangan jantung sama seperti lelaki. Jadi untuk mengelakkannya, rajin-rajinlah bersenam selain menjaga pemakanan. Ia juga secara tidak langsung membantu mengekalkan kelangsingan badan dan membuatkan anda nampak muda.
Paras gula darah – Tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis digelar penyakit tiga serangkai atau ‘sahabat baik’ kerana ia mempunyai kaitan rapat antara satu sama lain. Berhati-hati jika anda mempunyai ahli keluarga menghidap kencing manis kerana anda juga berisiko tinggi mendapatnya.
Namun amalan gaya hidup sihat dapat membantu anda menjauhi masalah ini.
Kelenjar tiroid – Jika anda berumur lebih 50 tahun dan sering berasa sejuk, sengal, mengalami sembelit dan berat badan mudah naik, berbincanglah dengan doktor sama ada anda memerlukan ujian masalah kelenjar tiroid.
Gigi dan gusi – Kajian menunjukkan keradangan gusi ada kaitan dengan penyakit jantung dan kencing manis. Buat temu janji dengan doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk memastikan gigi kita sentiasa sihat. Ingat, kehilangan gigi akan membuatkan kita nampak lebih cepat tua!
Telinga – Ramai wanita mula mengalami masalah pendengaran selepas berumur 50 tahun. Jadi usah bertangguh untuk jalani pemeriksaan telinga terutama jika pendengaran anda agak terganggu akhir-akhir ini.
Mata – Jalani pemeriksaan mata setiap tahun jika anda memakai kaca mata atau kanta lekap dan dua tahun sekali bagi yang tiada masalah rabun. Wanita lebih mudah mengalami masalah mata kerana lebih berisiko mendapat sindrom mata kering dan penyakit auto imun yang membabitkan mata.
Kulit – Kerap periksa badan sendiri. Cuba perhatikan jika ada tanda aneh atau tahi lalat yang luar biasa kerana ia mungkin menandakan kehadiran kanser.
Emosi – Ini masalah paling lazim yang dialami wanita menopaus. Ramai yang mengalami masalah kemurungan yang disebabkan banyak faktor seperti ketidakstabilan hormon, perubahan hidup, sindrom kesunyian (selepas anak-anak besar dan tinggal berasingan), perasaan hilang identiti diri dan sebagainya.
Jika anda turut mengalami masalah ini, dapatkan bantuan kaunselor dan luangkan masa untuk terbabit dalam aktiviti masyarakat supaya hidup anda terisi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan