Kata Hamka dalam pantunnya:
Janganlah masuk ke tengah gelanggangKalau taruhan tidak tertampin
Janganlah ingin jadi pemimpinKalau hanya alang kepalang
Tidaklah semua orang akan senangSelama berjuang di bumi iniAda yang suka ada yang benciSetelah meninggal barulah terang.
Pantun Hamka di atas menggambarkan beratnya terma atau title pemimpin itu. Saban hari kita melihat pendapat mahupun pandangan tentang kepimpinan mahupun dalam arena politik, perniagaan hinggalah ke peringkat persatuan. Pendapat itu pelbagai pula, ada yang menyokong, tak kurang juga yang membantah.
Hakikatnya, menggalas nama pemimpin itu bukan satu tugas yang patut diambil enteng. Pemimpin hari ini bukan sahaja perlu bijak mengambil hati tetapi juga perlu pandai mengatur strategi dan rancangan bagi organisasi yang mahu dipimpin biarpun organisasi tersebut hanyalah melibatkan ahli keluarganya.
Salah satu ciri yang saya rasa perlu ada dalam setiap insan yang sudah bergelar mahupun berimpian untuk digelar sebagai pemimpin adalah keterbukaan. Apakah itu keterbukaan? Kamus Dewan Edisi ke Empat mendefinisikan perkataan ini sebagai perihal terbuka (hati), sikap berterus terang, perihal atau sikap sedia melayani atau menunjukkan minat kpd apa sahaja pengaruh (unsur, rangsangan, dll).
Lumrah manusia ialah untuk berbeda pendapat. Namun bagi seorang pemimpin, perbezaan pendapat itu adalah sesuatu yang perlu diraikan dan ditangani dengan kepimpinan berlandaskan ilmu dan rasional bukan dengan menggunakan emosi sahaja. Keterbukaan dalam konteks kepimpinan yang saya utarakan hari ini, saya definisikan sebagai keupayaan satu pemimpin itu untuk menerima pandangan/kritikan/cadangan daripada mereka yang di bawah kepimpinannya.
Dalam usaha untuk mendepani cabaran pada masa hadapan, pemimpin hari ini tidak boleh tidak perlu untuk mengeluarkan diri daripada sangkar konsep 'if you are not with me then you are against me'. Kemajuan dan kecanggihan teknologi pada hari ini bukan sahaja memungkinkan komunikasi yang lebih berkesan di kalangan masyarakat malah telah mewujudkan satu lautan ilmu dan maklumat yang tidak bertepian.
Eric Schmidt, CEO Google Inc dalam sebuah wawancara pada tahun 2010 berkata "setiap 2 hari kita dianggarkan telah mencipta/menyediakan maklumat yang sama banyak jumlahnya dengan maklumat yang kita cipta daripada bermulanya peradaban manusia sehinggalah ke tahun 2003." Kata-kata ini jelas menunjukkan betapa pada hari ini kesemua daripada kita mempunyai akses kepada pelbagai maklumat dan ilmu pengetahuan.
Oleh itu, maka tidaklah menjadi satu kepelikan apabila masyarakat hari ini lebih berpengetahuan dan ini mewujudkan individu yang mempunyai pendapat mereka sendiri mengenai satu-satu perkara. Keadaan ini bukanlah suatu fenomena yang perlu ditakuti oleh pemimpin malah saya rasa jika individu seperti ini terdapat di dalam organisasi anda, maka fenomena perlu digalakkan lagi oleh pemimpin anda.
Kepelbagaian pendapat membolehkan satu-satu organisasi itu untuk mendapatkan pandangan menyeluruh tentang sesuatu isu. Dalam situasi sebegini, saya berpendapat bahawa seorang pemimpin itu harus mengamalkan sikap keterbukaan dan berusaha untuk mewujudkan satu laluan untuk mencapai keputusan yang terbaik bagi menyelesaikan satu-satu isu.
Setiap pemimpin, dari pemimpin persatuan hinggalah pemimpin negara perlu menyedari hakikat bahawa penyelesaian yang terbaik hanya boleh didapati apabila kita membuka minda, hati dan telinga terhadap perbezaan pendapat. Saya yakin bahawa mereka yang pendapatnya berbeza mempunyai niat yang sama iaitu mendambakan yang terbaik untuk organisasi mereka.
Namun begitu, saya juga turut berpendapat sekiranya satu-satu pemimpin itu tidak melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk berhadapan dengan perbezaan pendapat, organisasi itu mungkin akan tempang dek kegagalan untuk membuat keputusan. Berhadapan di sini bukan bermaksud menutup mulut atau tidak memberi ruang kepada mereka yang berbeza pendapat, tetapi lebih kepada bagaimana satu-satu pemimpin itu memanfaatkan kesemua pendapat dan mengaplikasikanya sebagai landasan kepada sebarang keputusan.
Keterbukaan di sini tidak juga bermakna pemimpin itu perlu menerima bulat-bulat pandangan/kritikan dan pendapat yang diterima tetapi respons seorang pemimpin di dalam situasi sebegini haruslah berlandaskan data, ilmu dan rasional serta tidak menyandarkan tindak balasnya pada emosi semata-mata.
Jelas pada hari ini, pelbagai contoh berada di sekeliling kita semua tentang bagaimana perbezaan pendapat itu boleh menjadi sesuatu yang positif atau negatif berdasarkan sama ada seorang pemimpin itu mengamalkan sikap keterbukaan.
Saya yakin bahawa bumi bertuah ini di hari yang mendatang akan menyaksikan pemimpin yang bersikap terbuka dan meraikan perbezaan pendapat.
“It is clear that the individual who persecutes a man, his brother, because he is not of the same opinion, is a monster.” - Voltaire
Tiada ulasan:
Catat Ulasan