DALAM usaha mengingati jasa Mariam Ibrahim, 54, atau lebih dikenali sebagai Chef Yam selama 15 tahun berkhidmat di Ancasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur, hotel tersebut menawarkan resipi Kak Yam sepanjang Ramadan ini.
Promosi resipi Kak Yam yang terkenal dengan selera kampung pastinya memberi pelbagai pilihan kepada penggemar masakan tersebut. Apa yang pasti, resipi Kak Yam mengetengahkan hidangan seperti ayam rendang cabai, ayam panggang percik, asam pedas Melaka dan masak lemak cili padi.
Tidak terkecuali, ketam Balik Pulau, gulai nangka tulang rawan, masak lemak telur itik dan bermacam-macam jenis kerabu seperti mangga, tauge dan pucuk. Untuk pencuci mulut, pengunjung boleh mencuba pelbagai pastri, kuih-muih tempatan dan juga potongan buah-buahan segar.
Chef masakan Melayu, Mariam Ibrahim berkata, pada tahun ini pihaknya menyajikan lebih 100 hidangan bufet yang menggabungkan masakan kampung dari negeri-negeri di seluruh Malaysia.
Bagi memastikan rasa dan kualiti hidangan sentiasa konsisten dan menepati keaslian, hanya ramuan rempah-ratus segar digunakan.
Menyentuh mengenai hidangan istimewa di hotel berkenaan, Mariam memberitahu, beliau menyediakan ayam panggang lada hitam.
“Menu ini sememangnya sedap memandangkan terdapat kombinasi rasa pedas, manis dan berlemak,” katanya sambil memberitahu hidangan itu berasal dari Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan