Rabu, 30 Januari 2013

Soo Wincci dari Ratu ke Pereka

pix_topright

Kegilaannya terhadap kerja memberi lebih ruang buat bekas Ratu Cantik Malaysia 2008, Soo Wincci untuk berkarya, bukan setakat menyanyi, menari dan berlakon, wanita jelita ini turut berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menghasilkan kasut rekaannya.

Selepas dipilih menjadi duta jenama kasut XES, dia kini memiliki jenama kasut sendiri yang akan dijual di butik XES seluruh negara.

Ditemui pada majlis pelancaran rekaan kasutnya baru-baru ini, gadis yang mesra dengan panggilan Wincci ini mengakui teruja apabila diberi penghargaan sebesar itu oleh XES apatah lagi idea dalam penghasilan jenis dan bentuk kasut juga dibuat mengikut cita rasanya sendiri.
Menurut gadis tinggi lampai ini, segala-galanya tidak pernah terlintas di fikiran kerana perancangan asal dia ingin membuka perniagaan roti.

FotoFoto

Foto

WINCCI bersama kasut rekaannya.

“Saya terfikir untuk menghasilkan rekaan kasut selepas menjadi duta XES. Dari situ timbul minat melihat pelbagai jenis kasut yang membanjiri pasaran.

“Ia juga mengingatkan saya pada awal pembabitan sebagai ratu cantik di mana saya didedahkan dengan pemakaian kasut. Dari situ saya jadikan sebuah ilham untuk lebih kreatif dalam setiap jenis kasut yang saya hasilkan.

“Memang agak rumit kerana tidak semua jenis yang saya hasilkan menepati apa yang dimahukan syarikat. Setiap rekaan itu saya perlu memberi sebab dan alasan kenapa ia dibuat seperti itu dan apakah kesannya kepada pengguna,” katanya.

Wincci berkata, sebagai permulaan dia menghasilkan enam reka bentuk kasut untuk dipasarkan dan selepas itu baki 12 lagi akan dilancarkan di semua cawangan XES seluruh negara.

“Saya mengambil ciri-ciri reka bentuk melalui kehidupan harian yang dilalui contohnya melihat apa yang menarik, selesa dan digemari oleh pengguna masa kini. Selain itu, reka bentuk yang dihasilkan juga terdapat dalam pelbagai kesesuaian yang boleh digunakan sama ada pada majlis rasmi atau tidak rasmi,” katanya.

Tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap perniagaan kasut, Wincci kini juga sibuk dengan promosi album Mandarin yang dilancarkan di Taiwan minggu lalu.

“Saya kini berulang alik setiap minggu antara Malaysia dan Taiwan namun gembira sambutan media pada pelancaran album ketika itu sangat memberangsangkan sehingga ke mana-mana saya pergi terasa diri sentiasa diperhatikan.

“Media di sana sangat aktif. Mereka ada di mana-mana saja untuk mendapatkan berita kita. Justeru, demi menjaga imej dan berharap promosi album tidak mengalami sebarang masalah, saya perlu bijak membawa diri dan jika keluar saya akan jalan beramai-ramai dengan teman lain.

“Saya akui dengan gosip seseorang artis mudah mendapat nama di sana. Namun saya mahu biarlah popular kerana bakat yang ada dan bukan gosip semata-mata walaupun ada juga yang cuba mendampingi saya,” katanya.

Selain album Mandarin, Wincci juga berjinak-jinak dalam menghasilkan lagu Melayu tidak hairanlah dia berani mempertaruhkan diri dengan menghasilkan album mini, Terus Teranglah yang menyaksikannya berduet dengan Joe Flizzow.

“Saya gembira atas segala yang dimiliki kini. Tidak dinafikan perjalanan yang saya lalui begitu mudah apa saja yang dilakukan walaupun pada dasarnya memerlukan masa yang lama namun ia berbaloi apabila semakin ramai yang mula mengenali diri dan produk yang dikeluarkan.

“Selepas pelancaran album Mandarin di Taiwan, jika tiada halangan album yang memuatkan 10 lagu ini akan dipasarkan di Malaysia selepas Tahun Baru Cina ini seiring dengan album Melayu saya.

“Dengan cara ini bukan hanya peminat Cina saja sekali gus saya harap dapat menguasai peminat Melayu juga,” katanya yang bakal menghabiskan pengajian peringkat sarjana tiga tahun lagi.

Antara lagu yang terdapat di dalam album Melayu Wincci ialah Terus Teranglah, Musim Asmara, Nombor 1 dan Jangan Risau.

Jadi ‘Superwoman’ di Taiwan

Berkongsi pengalaman sepanjang berada di Taiwan, Wincci berkata, ia satu perkara luar biasa dan pengalaman yang mencabar bagi dirinya.

Menurut anak jati Kuala Lumpur ini, menjadi seorang bintang di sana tidak boleh hanya fokus pada satu kerja saja sebaliknya untuk meletakkan diri setahap artis popular dia perlu melakukan banyak kerja selain menyanyi harus ada kemahiran dalam bidang lain juga.

“Saya kagum de­ngan semangat artis di sana untuk maju kerana walaupun pembabitannya kecil, tetapi besar kesannya kerana berita mengenai diri kita akan merebak ke seluruh Asia apatah lagi negara mereka mempunyai lebih 100 saluran televisyen.

“Walaupun hanya sedikit pembabitan ia agak sukar untuk ditembusi kerana kita tidak boleh mempertaruhkan bakat menyanyi semata-mata, tetapi perlu pandai melakukan apa saja yang diminta dan tidak hairanlah selain menyanyi, berlakon dan menari saya juga pernah menjadi chef dalam satu program masakan di sana selepas mereka mengetahui saya pernah terbabit dalam program masakan di sini,” katanya.

Wincci berkata, dia berjaya mengatasi semua itu kerana apa saja yang diminta dia mampu melakukannya hingga orang-orang sekeliling dan beberapa artis menggelarnya Superwoman.
Ini kerana selain mampu melakukan banyak perkara dia juga disanjung kerana menjadi wanita dan artis yang berpendidikan tinggi.

“Bagi saya kelebihan yang ada perlu dikongsi, selain dapat menunjukkan bakat kepada semua ia juga sebagai teladan kepada sesetengah masyarakat di sana yang beranggapan wanita tidak perlu belajar hakikatnya mereka mengakui pelajaran juga sama penting,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan