SHAH ALAM - “Sultan” Sulu Jamalul Kiram III yang mendalangi pencerobohan pengganas di Lahad Datu awal tahun ini, meninggal dunia awal pagi tadi, menurut anak perempuannya. Jacel Kiram-Hassan memberitahu sebuah stesen radio Filipina bahawa bapanya meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak sekian lama.
Menurut anaknya itu, bapanya meninggal dunia kira-kira pukul empat pagi di sebuah hospital.
"Terima kasih di atas doa dan sokongan anda,” kata Jacel dalam laman Facebooknya.
Kiram, 75 tahun, dilaporkan menjalani rawatan di Pusat Jantung Filipina sejak Khamis lalu. Jenazahnya akan dibawa Jolo, Sulu untuk pengkebumian. Beliau mempunyai sembilan anak termasuk Jacel yang kerap menjadi jurucakap ayahnya ketika krisis Lahad Datu tercetus.
Malah Jacel membayangkan bahawa perjuangan ayahnya menuntut Sabah akan diteruskan.
“Perjuangan ayah saya ditinggalkan untuk kami sebagai anak-anaknya untuk diteruskan. Beliau seorang yang baik, seorang insan agong yang mahukan Sabah dikembali kepada rakyat Filipina. Kami akan meneruskan perjuangan itu,” Jacel memberitahu radio DZIQ.
Pada Mac lalu, kira-kira 200 penyokong bersenjata Kiram menceroboh Kampong Tanduo di Lahad Datu dalam cubaan untuk merampas Sabah daripada Malaysia. Kumpulan bersenjata itu yang diketuai oleh adik Kiram, Agbimuddin, enggan menyerah diri, sekali gus memaksa tentera dan polis Malaysia melancarkan serangan udara dan darat.
Enam puluh lapan orang terkorban dalam pertempuran termasuk sembilan prajurit dan anggota polis serta enam orang awam. Sabah menyertai Malaysia pada tahun 1963, namun negeri yang kaya dengan sumber asli itu dituntut oleh Manila dan Kesultanan Sulu. Tuntutan itu kerap diungkit oleh media Filipina apabila melaporkan mengenai hubungan Kuala Lumpur dan Manila.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan