HARI ini sekiranya anda mengalami masalah kesihatan seperti demam, sakit di bahagian kanan badan, lemah, lesu atau sebagainya, anda disarankan agar segera berjumpa doktor.
Ini kerana daripada masalah tersebut anda mungkin dijangkiti penyakit yang tidak diketahui akan kewujudannya dan ada ketikanya ia sudah sampai ke tahap kronik.
Seperti penyakit Hepatitis C, ia merupakan jangkitan yang sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa membawa simptom yang khusus atau tidak berpanjangan.
Penyakit ini juga dikategorikan sebagai pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti sehingga bertahun-tahun malahan ada yang menjangkau berpuluh tahun lamanya.
Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 60 peratus hingga 70 peratus pesakit Hepatitis C akan mengalami penyakit hati yang kronik manakala lima peratus hingga 20 peratus akan mengalami sirosis manakala satu peratus hingga lima peratus akan mati akibat sirosis atau kanser hati.
Menurut Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, apa yang menyedihkan, kebanyakan kes Hepatitis C hanya diketahui selepas penyakit ini mencapai tahap kronik atau lanjut walaupun ramai pesakit dipercayai telah menghidap virus tersebut jauh lebih awal.
Katanya lagi, tidak kurang yang hanya menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan hati atau pertumbuhan kanser hati.
"Oleh kerana penyakit ini dikategorikan sebagai pembunuh senyap, anda di luar sana disarankan agar melakukan ujian darah untuk mengesan penyakit ini.
"Ini kerana melalui ujian darah Hepatitis C dapat dikesan dan dapat pengesahan awal mengenai penyakit ini.
"Dan perlu diingatkan penyakit ini menyerang tanpa mengira jantina dan juga peringkat umur," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, walaupun ujian darah mampu mengesan kehadiran virus Hepatitis C dengan mudah namun kebanyakan masyarakat hari ini enggan berbuat demikian.
Mengulas lanjut mengenai penyakit ini, ujar Dr. Abdul Malik, ia bukan sahaja disebabkan jangkitan kuman bahkan pesakit boleh dijangkiti jika mengambil ubat secara salah, pemindahan darah, pengambilan alkohol, tabiat seks yang tidak sihat serta melalui suntikan seperti menindik badan, mencacah (tatu) dan juga suntikan dadah.
Selain daripada itu, Dr. Abdul Malik menegaskan mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini ialah mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan, penghidap kencing manis dan pesakit darah tinggi.
Lazimnya terdapat tujuh jenis virus hepatitis yang dikesan di seluruh dunia iaitu virus hepatitis A, B, C, D, E, F dan G.
Hepatitis c virus
Bagaimanapun virus yang lazim ditemui adalah hepatitis A hingga E.
Namun menurut Dr. Abdul Malik, hanya hepatitis B dan C yang boleh bertukar kronik yang memungkinkan kerosakan teruk pada hati.
Sementara itu, menurut Perunding Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Rosmawati Mohamed, kira-kira 170 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus Hepatitis C secara kronik dan lebih daripada 350,000 dianggarkan akan mati setiap tahun akibat penyakit hati yang berkait dengan virus Hepatitis C.
Katanya lagi, pesakit Hepatitis C berpeluang sembuh dengan rawatan yang sedia ada termasuk penemuan ubat terbaru yang dikelaskan sebagai sejenis ubat anti virus.
Bagaimanapun Dr. Rosmawati menasihatkan pesakit yang telah sembuh perlu menjauhi gaya hidup berisiko kerana virus Hepatitis C yang baru boleh menyerang semula pesakit yang sama.
Dalam masa yang sama, selain sentiasa menjaga kebersihan, rawatan awal terhadap penyakit Hepatitis C juga mampu menyelamatkan nyawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan