Ahad, 17 Februari 2013

Vishwaroopam




Majlis Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) memberi maklumat kepada saya mengenai kontroversi filem Vishwaroopam, yang telah dihentikan penayangannya buat sementara waktu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), ekoran banyak adegan menghina agama Islam. Malangnya, parti politik India komponen Barisan Nasional (BN), mendesak mahukan filem ini terus ditayangkan kerana pada mereka ia hanya lakonan semata-mata. Jahil sungguh mereka dalam memahami budaya masyarakat Islam.

Setelah sekian lama tinggal di bumi bertuah ini, mereka masih tidak faham sensiviti umat Islam. Apakah malangnya kita mendapat warganegara sedemikian rupa? Tidakkah perlu perlembagaan berkaitan kewarganegaraan dipinda untuk menangani golongan sebegini seperti yang disarankan oleh Tun Mahathir?
Bayangkan jika orang India Muslim tidak tampil ke hadapan, sudah tentu ultra kiasu tidak sedar diri ini bersorak gembira. Jika mereka ikhlas, sepatutnya merekalah yang tampil ke hadapan memaklumkan perkara ini kepada KDN.
Berikut adalah ringkasan penghinaan yang sengaja dilakukan terhadap agama Islam yang mulia ini. Pertama, umat Islam digambarkan sebagai pengganas. Kedua, Kitab suci al-Quran katakan sebagai rujukan pengganas. Ketiga, pakaian wanita berhijab/purdah tempat menyimpan senjata api dan bom. Keempat, ayat-ayat al-Quran dibaca bagi memulakan aktiviti jahat. Kelima, pengikut Taliban dikaitkan dengan penyembelihan manusia dan keenam, agama Islam digambarkan sebagai agama yang tidak berperikemanusiaan.
Apa tujuan filem ini sebenar? Bagaimana filem ini boleh terlepas? Walaupun KDN telah menarik penayangannya buat sementara waktu, itu bukan bermakna kita perlu berdiam diri dan berbaik sangka dengan mengatakan ia tidak disengajakan? Bagaimana jika kita melakukannya terhadap agama lain?
Difahamkan sebanyak 16 penyuntingan akan dibuat sebelum tayangan semula dilakukan. Siapakah yang menyunting filem ini sebelum ditayangkan? Orang Islam atau orang bukan  Islam? Apakah patut mereka dilepaskan begitu sahaja? Ternyata, filem ini dan penerbit yang beragama Hindu berniat jahat.
Isu agama adalah isu yang amat sensitif. Pantang sekali agama Islam dipermainkan dalam apa juga bentuk sekalipun. Contoh, isu kalimah Allah, karikatur Nabi Muhammad SAW dan sebagainya. Apatah lagi mempermainkan kitab suci al-Quran. Agama tidak boleh dijadikan bahan gurauan atau sindiran.
Bayangkan selepas ini kita menerbitkan filem menghina agama lain. Tentu kita masih ingat isu peristiwa perarakan kepala lembu suatu masa dahulu. Begitu juga dengan anak muda Melayu yang masih merengkok di dalam penjara akibat cubaan membakar gereja. Malangnya, apabila anak muda bukan Islam mencampak kepala babi ke dalam surau, maka tidak dikenakan tindakan.
Apabila kena kita, tidak mengapa. Tetapi apabila kena kepada mereka, tidak boleh. Budaya politik rimba apakah ini? Jangan cabar kesucian Islam. Kesabaran umat Islam ada had. Walaupun orang Islam berpecah, itu bukan bermakna bukan Islam boleh mengambil kesempatan sewenang-wenang dan mempermainkan kita.
Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.
Hari ini pergilah ke mana sahaja. Jika dahulu, rumah ibadat dan patung-patung tidak banyak kelihatan meriah. Kalau adanya pun agak suram dan tidak nampak tombolnya. Tetapi selepas PRU 12, keadaan jauh berubah. Mereka mendapat peruntukan sana sini, pusat dan negeri. Rumah ibadat kecil menjadi besar, tombol rendah menjadi tinggi dan berwarna-warni.
Apa yang saya lihat, kita sudah memberi segala-galanya bagi menagih simpati dan undi. Negara ini tidak ada lagi identiti. Agenda Islam dan Melayu entah ke mana. Saya amat yakin jika BN menang sekalipun dalam PRU 13 ini, keadaan tidak ada bezanya dengan apa yang berlaku pada hari ini. Kita akan terus menjaga hati orang lain daripada hati sendiri.
Persoalan saya, apakah agenda kita hanya untuk pilihan raya? Kita tidak bertegas dalam melaksanakan agenda negara. Tidak cukup dengan kontroversi filem tersebut, amat meloyakan apabila semua parti komponen BN meramalkan mereka akan menang banyak kerusi yang ditandingi dalam PRU 13. Hairannya, kerusi yang diramalkan menang dan mahukan itu adalah kerusi yang ditandingi kawasan majoriti Melayu.
Mereka mendesak diberikan tambahan kerusi. Jika mereka benar-benar ikhlas, pergilah menawarkan diri bertanding di kawasan majoriti ultra kiasu (Cina). Mintalah kerusi sebanyak manapun. Tetapi beri laluan kepada orang Islam bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Terbaharu, kontroversi agihan kerusi BN di Perak. Parti politik India (BN) tetap mahu bertanding di kawasan majoriti Melayu yang ditandingi sebelum ini iaitu Behrang, Pasir Panjang, Hutan Melintang dan Buntong. Pimpinan parti ini, tidak bersetuju dengan ura-ura tawaran dua jawatan Senator sebagai tukaran melepaskan DUN Behrang dan Pasir Panjang. Parti nyamuk ini merasakan dirinya kuat.
Saya minta, cermin diri dahulu. Jika orang Melayu tidak memangkah mereka, sudah lama parti ini bungkus. Saya cadangkan agar PRU 13, jika kita mahukan sangat orang India bertanding di kawasan majoriti Melayu, carilah kalangan India Muslim seperti KIMMA dan MIM, tetapi bukan mereka yang tidak Islam. 
Orang Melayu tidak teragak untuk memangkah mereka, tetapi adalah mereka memangkah kita apabila laluan diberikan? Apakah mereka akan menjaga dan menghormati sensitiviti agama Islam. Kontroversi filem Vishwaroopam sudah jelas menunjukkan bahawa mereka langsung tidak peduli dengan agama persekutuan ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan