Sebagai seorang manusia yang beragama Islam dan mempelajari asas-asas ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W, saya berusaha sedaya upa untuk tidak menghina mana-mana manusia lain walaupun mereka itu bukan Islam.
Saya juga akan meneruskan memegang amanah untuk sentiasa menjaga hak dan keadilan untuk orang Islam dan bukan Islam sampai saya mati. Kerana itu adalah tuntutan wajib sebagai seorang Islam yang saya pelajari dari ustaz-ustaz yang mengajar saya erti dan maksud Al Quran dan Sunnah.
Oleh itu saya secara peribadi tidak bersetuju dan tidak akan bersetuju sampai Kiamat, In Syaa Allah, apabila ada orang yang menghina orang lain walaupun orang itu tidak seagama dengan saya.
Menghina sesuatu bangsa itu, seolah-olah kita menghina diri kita sendiri, kerana bagi yang menganut Agama Islam dan Kristian sekurang-kurangnya kita tahu dan faham dengan jelas bahawa, semua manusia yang ada di dalam dunia ini sama ada yang sudah mati ataupun hidup ataupun bakal lahir, adalah berasal dari seorang ayah dan ibu yang sama iaitu Adam dan Hawa.
Adam dan Hawa berasal dari Syurga, kita semua adalah berbangsa 'Adam dan Hawa', iaitu berasal dari satu keturunan dan keluarga yang sama iaitu keluarga Adam dan Hawa, usah kita membeza-bezakan kita, kerana yang kita benar-benar berbeza hanyalah satu iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Siam, Portugis, dan lain-lain yang ada di atas dunia ini adalah berasal dari darah daging Adam dan Hawa.
Kita sekarang di dalam proses untuk kembali semula ke tempat asal roh kita dan juga keturunan kita (Adam & Hawa) iaitu Syurga, oleh itu apa yang paling penting untuk dipastikan kita sudah berada di atas jalan yang diredhai Allah untuk kembali semula kepada Allah.
Nabi Muhammad sebagai contoh, yang menyatukan manusia semua walaupun ada di antara mereka mengaku mereka dari bangsa yang berlainan, melalui jalan Islam, kerana melalui Islam, kita dapat tahu dengan jelas, yang hanya ada adalah keturunan Bani Adam sahaja, tiada Bani Melayu, Bani Cina, Bani India, Bani..., ini kerana yang memperjuangkan bani @ bangsa dunia adalah Abu Jahal dan sekutunya.
Di dalam Islam sudah dinyatakan dengan jelas, hak orang Islam dan hak orang bukan Islam. Mencuri di kedai orang Islam, haram, mencuri di kedai orang bukan Islam juga haram.
Ini adalah pendirian saya. Saya berjuang untuk hak orang Islam dan saya juga berjuang bagi menjadi orang yang adil dan beramanah di dalam memastikan hak orang bukan Islam tidak diceroboh ataupun dinodai. Seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dan para sahabat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan