Penceramah terkemuka, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, penetapan harga hantaran yang tinggi sepatutnya tidak berlaku tetapi perlu dirunding antara kedua-dua pihak. Ia seharusnya diputuskan mengikut kemampuan pasangan lelaki.
Katanya, lebih baik sekiranya ibu bapa menyerahkan saja soal penetapan hantaran kepada pihak lelaki supaya golongan Adam tidak dibebankan dengan perbelanjaan besar untuk melangsungkan perkahwinan.
“Perkahwinan bukan satu perniagaan atau pelaburan sebaliknya ia adalah untuk mencari keberkatan hidup serta keredaan Allah.
“Selain hantaran yang tinggi, masalah kewangan sering dihadapi pasangan baru berkahwin apabila masing-masing ingin bersaing mengadakan majlis kenduri yang besar, meriah, pelamin serta pakaian indah dihasilkan pereka terbaik mengikut perkiraan mereka bernilai puluhan ribu ringgit,” katanya.
Disebabkan adanya pelbagai perbelanjaan tidak perlu, majlis kahwin menjadi seolah-olah terlalu membebankan terutama bagi golongan yang tidak mampu, menyebabkan masalah ‘kahwin tak jadi’ sering kedengaran dewasa ini.
Mohd Zawawi berkata,berdasarkan hadis Nabi, perkahwinan yang meletakkan mas kahwin tinggi, hilang keberkatannya. Semakin tinggi belanja kahwin, semakin kurang berkatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan