Ahad, 7 April 2013

Adab Makan Rasulullah

KETAHUI ADAB MAKAN AMALAN RASULULLAH
Seorang Muslim perlu memandang makanan dan minuman sebagai sebab atau alat yang boleh menyampaikan kepada sesuatu tujuan. Tegasnya, makan dan minum itu bukan matlamat hakiki, kerana makan dan minum bagi orang Islam adalah untuk memelihara dan mengawal keselamatan tubuh badannya.

Dengan demikian tubuh badan akan sihat dan dapat beribadat kepada Allah s.w.t. iaitu ibadat yang melayakkan dirinya menerima kemuliaan negeri akhirat dan kebahagiaan hidup abadi di sana. Oleh yang demikian, seorang Muslim tidak makan dan minum semata-mata kerana memenuhi nafsu. Ia tidak makan kalau tidak lapar, dan tidak minum kalau tidak dahaga. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Kami adalah satu kaum yang tidak makan sehingga kami lapar (iaitu apabila sangat lapar baru kami makan) dan apabila kami makan, maka kami tidak makan (makan banyak) hingga kenyang.

Jelasnya, seseorang Muslim dalam makan dan minumnya terikat kepada beberapa adab, iaitu:

* Memilih makanan dan minuman yang baik, halal, bersih daripada kekotoran harta haram dan harta syubhah. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah, ayat 172 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! makanlah kamu daripada benda-benda yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepada kamu. Tegasnya, rezeki yang baik itu ialah rezeki yang halal yang tidak bercampur dengan kekotoran dan perkara haram.

* Apabila hendak makan atau minum, hendaklah berniat menguatkan tenaga untuk beribadat kepada Allah s.w.t. supaya dengan demikian makan dan minumnya mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t. Dalam Islam, perkara yang harus (seperti makan dan minum) tetapi dengan disertakan niat yang baik, akan menjadi tabiat yang diberi pahala kepada seseorang Muslim.

* Sebelum makan hendaklah dibasuh kedua-dua belah tangan jika terdapat pada kedua-duanya itu kekotoran ataupun ada keraguan tentang kebersihan tangan tersebut.

* Meletakkan atau menghidangkan makanan di atas alas makan di hadapan tempat duduk, kerana meletakkan makanan di atas alas lebih hampir dengan sifat tawaduk. Duduk menghadap makanan dengan cara menghulurkan dua lutut ke hadapan dan meletak punggung di atas dua tapak kaki atau mendirikan kaki sebelah kanan dan duduk di atas tapak kaki kiri. Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku tidak makan sambil menyandar, sesungguhnya aku seorang hamba, aku makan seperti hamba makan dan aku duduk seperti seorang hamba duduk. (Riwayat Bukhari).

* Bersikap rela dengan makanan yang ada di hadapan, tidak mengaibkannya dan mengejinya. Jika rasa tertarik, makanlah. Jika sebaliknya, tinggalkanlah. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sikap Rasulullah s.a.w. tentang makan, katanya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah sekalipun mengaibkan makanan. Jika baginda merasakan makanan itu menarik (membuka selera), baginda makan. Jika tidak berselera, baginda meninggalkannya. (Riwayat Abu Daud).

* Sekiranya ada tetamu atau keluarga, maka ajaklah mereka makan bersama kerana makan beramai-ramai itu berkat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: Beramai-ramailah menghadapi makanan kamu, nescaya dikurniakan keberkatan kepada makanan itu.

* Memulakan makan dan minum dengan menyebut basmalah dan berdoa. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Apabila seseorang di antara kamu hendak makan, maka sebutlah nama Allah Taala. Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada permulaan makan, maka hendaklah ia menyebut `Bismillahi awwaluhu wa aakhiruhu'. (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi).

* Makan pada permulaannya dengan tiga jari tangan kanan dan mengecilkan suapan, mengelokkan mamah makanan dan makan makanan di sebelah hadapan, tidak yang di tengah hidangan atau yang jauh dari tempat duduk. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Umar bin Salamah yang bermaksud: Wahai anak! sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan di sebelah kamu ( di hadapanmu). (Muttafaq alaih).

* Sekiranya makanan itu masih panas dan berasap, janganlah dihembus atau ditiup. Manakala ketika minum janganlah bernafas di dalam bekas air, sebaliknya bernafaslah di luar bekas sebanyak tiga kali ( maksudnya minum seteguk bernafas sekali, seterusnya setiap satu tegukan sekali bernafas. Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bernafas tiga kali ketika baginda minum. (Muttafaq alih). Daripada Abu Said r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang orang meniup dalam minuman (yang panas). ( Riwayat Tirmizi). Dan daripada Abdullah bin Abas r.a. menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. melarang orang yang sedang minum bernafas atau meniup dalam bekas minuman ketika sedang minum. (Riwayat Tirmizi).

* Seorang Muslim yang muda atau lebih muda hendaklah melayani orang yang lebih tua daripadanya ketika makan dan minum dalam satu hidangan dengan menghulurkan makanan dan minuman lebih dahulu kepada yang lebih tua. Kemudian barulah diedarkan kepada orang yang di sebelah kanan, seorang demi seorang, dengan dirinya menjadi orang yang terakhir mendapat makanan dan minuman tersebut.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Orang yang lebih berhak minum dan makan dahulu ialah orang yang di sebelah kanan dan yang lebih kanan. (Muttafaq alaih). Sekiranya orang yang tua duduk di sebelah kiri kita, maka perlulah meminta izin daripada mereka yang di sebelah kanan kita untuk memberi makanan terlebih dahulu kepada mereka yang lebih tua tersebut. Begitulah juga sekiranya dalam majlis itu terdapat mereka yang lebih istimewa kedudukannya daripada yang lain.

* Ketika sedang makan, janganlah asyik memandang orang lain yang sedang makan bersama, kerana perbuatan seperti itu boleh mengganggu atau memalukannya. Sebaliknya makanlah sambil menunduk kepala tanpa memandang kepada sesiapapun dengan pandangan yang boleh mengganggu konsentrasi orang lain. Kita juga dilarang melakukan perbuatan jijik ketika makan dalam satu hidangan seperti menyebut (bercakap) perkara-perkara yang kotor yang boleh menimbulkan rasa tidak senang hati kepada rakan sehidangan, kerana hal-hal demikian boleh menyakiti hati orang lain.

* Apabila sisa-sisa makanan terjatuh dari bekasnya hendaklah diambil, dan selepas membuang kekotoran yang terlekat, makanlah sisa makanan itu sekiranya tidak memudaratkan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Apabila suapan seseorang kamu jatuh dari mulutnya, hendaklah diambil dan hendaklah dibuang kotoran yang serta dimakannya dan jangan ditinggalkan untuk makanan syaitan.'' (Riwayat Muslim).

* Seorang Muslim hendaklah berhenti makan sebelum merasa terlalu kenyang kerana mencontohi Rasulullah s.a.w. Sabda baginda Seseorang manusia tidak memenuhkan satu bekas yang lebih bahaya dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan makanan bagi menguatkan tulang belakang. Jika tidak dapat berbuat demikian, eloklah perutnya dibahagi tiga ruang. Satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk bernafas. (Riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah dan Hakim).

* Apabila selesai makan, seorang Muslim hendaklah membersihkan sisa makanan yang terlekat di jari-jarinya, kemudian membersihkannya dengan air. Menurut Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh (orang yang makan) menjilat-jilat jari-jari tangannya dan menghabiskan sisa makanan yang terdapat di bekas makanannya (pinggan mangkuk dan sebagainya) dan baginda bersabda: Sesungguhnya kamu tidak tahu di bahagian mana keberkatan makanan kamu. (Riwayat Muslim).

* Akhiri makan dengan memuji Allah: `alhamdulillah'. Sabda Rasulullah s.a.w. : Sesiapa makan makanan dan pada akhirnya bersyukur, berdoa dengan mengucap segala puji bagi Allah yang telah memberi makanan ini padaku dan memberikanku rezeki tanpa upaya dan kekuasaan diriku, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu. (Muttafaq alaih).

* Selepas itu hendaklah berkumur dan membersihkan mulut dengan mengeluarkan sisa-sisa makanan, kerana dengan kebersihan mulut kita dapat berzikir dan bercakap dengan sahabat handai dan saudara mara dengan senang hati, dan dengan kebersihan mulut, gigi akan selamat daripada kerosakan.

Demikianlah adab-adab makan yang sewajarnya dipatuhi dan diikuti oleh seorang Muslim dalam kehidupan mereka agar sejajar dengan amalan yang diperintahkan dan dilakukan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan