‘Sesungguhnya, Kami (ALLAH) telah mengutuskan para Rasul Kami (ALLAH) dengan bukti-bukti yang nyata, dan Kami (ALLAH) menurunkan bersama mereka Kitab dan Mizan (neraca) supaya berdirilah manusia dengan keadilan. Dan Kami (ALLAH) menurunkan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia, dan supaya dibuktikan ALLAH siapa yang menolong-NYA dan para Rasul-NYA dengan ghaib. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuat lagi Maha Perkasa.’ (Surah al-Hadid, 57 : 25).
Secara ringkasnya saya mengucapkan syukur ke hadrat ALLAH SWT, walaupun dalam keadaan sibuk pilihan raya, saya tetap dapat menghadirkan diri untuk memberi ruang sedikit fikiran kepada semua bagi memilih Pakatan Rakyat khasnya terhadap PAS.
Dunia ini tidak kita buat. Kita hanya menumpang di atas dunia yang ALLAH buat. ALLAH buat manusia. Manusia ada yang cerdik dan ada yang bodoh. Ada yang atas daripada cerdik yakni dipanggil Rasul. Ada manusia bertaraf Rasul, bertaraf Nabi. Kerana manusia mempunyai tubuh dan roh. Tiap-tiap manusia ALLAH buat daripada tanah dan ditiupkan roh. Tanah, kerja dia ialah menurun. Manakala roh kerja dia ialah menaik. Oleh yang demikian, untuk memimpin manusia, ALLAH telah mengirim Nabi dan Nabi akhir zaman adalah Nabi Muhamad SAW. Nabi Muhamad telah wafat lebih seribu tahun dahulu tetapi Al-Quran masih hidup sampai kiamat.
Dalam Al-Quran menyebut mengenai asas manusia. ‘Hai, manusia. Aku yang buat kamu,’ ada lelaki ada perempuan, ada bermacam etnik, ada bermacam kabilah. Dengan tujuan supaya kamu mudah kenal mengenal. ‘Yang paling mulia di antara kamu di sisi AKU adalah yang paling bertakwa.’ Jadi, mahu tidak mahu. Manusia mesti terima bahawa manusia dicipta oleh ALLAH. Bukan manusia dicipta oleh manusia. Apabila ALLAH yang mencipta manusia, ALLAH sediakan tempat untuk manusia hidup iaitu bumi. Bumi tidak boleh hidup sendirian. Mesti ada langit, mesti ada segala cakerawala. Ada matahari yang mengeluarkan cahaya, oksigen dan pelbagai perkara yang memberi manfaat kepada manusia.
Bumi dan langit adalah untuk tubuh manusia. Roh manusia tidak boleh dikendali oleh zahir sahaja. Mesti melalui roh. Roh adalah wahyu dari langit. Tiada wahyu dari langit, manusia akan terus menerus kacau bilau. Maka, ALLAH mengirim Nabi. Sejak Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, sehinggalah Nabi Muhamad. Orang-orang ini mengendali manusia supaya manusia berpegang kepada dua perkara.
Pertama: Manusia dibuat oleh ALLAH.
Kedua : Manusia hidup di atas dunia ini – ‘Siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Perkasa Maha Pengampun.’ (Surah al-Mulk, 67:2).
Saya datang dari Kelantan dengan tujuan hendak memberi ucapan. Tuan-tuan datang untuk mendengar macam-macam ucapan. Kita sendiri datang ke dunia untuk tujuan apa? Kerana kita datang ke sini untuk mendengar ucapan, hendak itu dan hendak ini. Kita sendiri datang ke dunia untuk apa? Tidak ada orang tahu. Tidak ada manusia yang tahu bagaimana manusia dihidupkan di atas muka bumi ini kecuali ALLAH yang menciptanya. ALLAH buat manusia; Melayu, Cina, Inggeris, Afrika tujuannya ialah supaya ALLAH menguji kita, siapa yang paling baik dari segi amalan. Yang paling baik dari segi amalan yang seru kepada ALLAH, akan letak syurga dan akhirat di hadapannya. Dan yang lari daripada aktiviti seru kepada ALLAH akan disumbat ke dalam neraka. Ini perkara pokok, hadirin.
Atas sebab itulah, Nabi SAW walaupun lahir di Mekah, 13 tahun berdakwah di Mekah, tetapi dengan sebab penduduk Mekah tidak menerima dakwah, Nabi terpaksa berhijrah ke Madinah. Di Madinah, Nabi disambut dan dilantik sebagai Perdana Menteri. Wakil rakyat yang pertama dalam Islam ialah Nabi Muhammad SAW. Wakil rakyat kita, manusia pilih. Saya dipilih oleh rakyat. Tuan-tuan sendiri akan memilih Dato Husam, akan memilih Nurul Izzah, tetapi Nabi SAW, kita tidak pilih, tetapi ALLAH yang memilih sebagai wakil rakyat. Apa yang ALLAH hendak beritahu kepada manusia, DIA akan beritahu kepada Nabi Muhammad. Ini perkara pokok, para hadirin semua.
Oleh yang demikian, para hadirin semua, kita mesti sedar manusia tidak boleh selamat kalau hanya berfikir cara kita, lebih-lebih lagi parti yang menolak Islam. Macam dia dengan ALLAH, dia lebih kuat. Islam datang daripada ALLAH tetapi ada parti yang menolak Islam. Allah yang menurunkan Islam. ALLAH sifatkan Islam sebagai rahmat fil ‘alamin tetapi ada pihak mengatakan ia laknat, (laknat fil ‘alamin). Ini kecelakaan yang menimpa pemikiran orang Islam sebelum ini seperti mana kecelakaan yang menimpa di Timur Tengah. Alhamdulillah sekarang ini, walaupun begitu sekian lama di Timur Tengah dikuasai oleh pemikiran sekular tetapi sekarang naik balik gelombang Islam yang menyebabkan presiden-presiden yang dahulunya membunuh dan menangkap orang, dia sendiri pula ditangkap, dibunuh dan dipenjara pula.
Para hadirin semua, Insya-ALLAH Malaysia khasnya kita di sebelah sini, perlu fikir balik semula bahawa tidak ada cara yang paling baik untuk hidup di dunia sampai akhirat melainkan melalui Islam. Kebangsaan tidak boleh buat apa. Bila manusia masuk di dalam kubur, tidak akan Malaikat Munkar dan Nakir tanya, “Kamu berbangsa apa?” Saya jawab bangsa Melayu, maka saya boleh masuk syurga. Mustahil! Ini yang perlu diberi perhatian oleh kita semua dan kita di Kelantan sejak tahun 1990 sampai tengah malam ini, Insya-ALLAH sampai kiamat, kita bela Islam; Islam cara syamil, Islam cara syumul, kompresif, ekonomi cara Islam, akidah cara Islam, sosial cara Islam, budaya cara Islam dan sebagainya. Tidak akanlah kita sembahyang dan menunaikan haji mengikut cara Nabi namun dalam pemerintahan kita menurut cara orang putih. Begini, para hadirin. Nabi Muhammad memerintah negeri, jadi Perdana Menteri di Mekah di Madinah lebih kurang 10 tahun. Maka, kita mesti turut kehendak dia, peraturan dia, akidah dia, Insya-ALLAH mudah-mudahan 5 hari bulan ini, kita mengundi untuk bentuk kerajaan, asasnya kepada Islam, dapat hidup sebuah masyarakat yang baik dan damai dan 6 hari bulan, kita beraya beramai-ramai, Insya-ALLAH.
Ceramah Perdana, Presint 3, Putrajaya
26 April 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan