Pas tidak meletakkan tembok pemisah dalam usaha menyuburkan rasa muhibah di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.
PEKAN - BERDASARKAN prestasi pembangkang dalam keputusan Parlimen Pekan dalam PRU lalu, meletakkan calon dari PAS merupakan keputusan terbaik berbanding mempertaruhkan calon dari PKR. Malahan dalam PRU ke 10 pada tahun 1999, PAS ketika itu hampir sahaja menamatkan riwayat politik Datuk Seri Najib apabila calon mereka Ramli Mohamed hanya tewas dengan majoriti 241 undi sahaja.
Yang Dipertua Pas kawasan Pekan, Abu Kassim Manaf berkata, Pas telah selesai menyenaraikan kedua-dua calon iaitu yang berusia dan muda bagi menghadapi saingan pada PRU nanti.
Menurutnya, analisa semasa dan keputusan pilihan raya lalu, pilihan raya akan datang boleh dianggap sebagai peluang terbaik pembangkang bukan sahaja untuk menerajui kerajaan malah juga peluang untuk menumbangkan PM di laman sendiri.
“Pencapaian Pas yang pernah menjadi pilihan majoriti rakyat di Parlimen Pekan tidak mustahil akan berulang kembali malah ia memberi pengalaman baru kepada rakyat yang dahagakan perubahan. Tempoh pemerintahan yang lama jelas tidak mendatangkan kesan besar kepada masyarakat di Parlimen ini malah banyak isu berbangkit masih gagal diselesaikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Abu Kassim berkata, kepincangan pemimpin sedia ada boleh dilihat melalui masalah yang diluahkan kepada parti pem bangkang ketika setiap kali mereka ‘turun padang’ untuk mendengar masalah serta menghulurkan bantuan.
“Pas cukup yakin bahawa kedudukan BN kini semakin goyah dan cubaan mereka ‘menutup’ kelemahan melalui pelbagai sogokan berbentuk wang ringgit serta projek perumahan dan ekonomi tidak mampu mengaburi mata rakyat. Rakyat kini sudah bijak menilai dan mereka tidak sewenangwenangnya tertipu ekoran pengamatan dan pengalaman berada di bawah pemerintahan BN sudah cukup untuk dijadikan pengajaran,” katanya.
Calon Peramu dan Pulau Manis
SEMENTARA itu, beliau turut memaklumkan mengenai dua calon bagi merebut kerusi di Dun Peramu dan Pulau Manis telah berjaya dipilih dan bersiap sedia untuk menggalas cabaran pada PRU tidak lama lagi.
“Calon yang agak berusia dan muda menjadi pilihan, malah gabungan kedua-dua golongan ini dilihat sebagai gandingan terbaik kerana masing-masing memiliki kekuatan tersendiri. Kekuatan pembentukan barisan kepimpinan dapat direalisasikan melalui gabungan calon berusia dan muda di mana ia membuka ruang dan pendedahan kepada calon muda sebagai pelapis yang bakal memimpin dengan lebih cekap dan bijak,” katanya.
Beliau berkata, apa yang penting ialah setiap calon bersedia menghadapi sebarang cabaran dan gigih berusaha dalam memastikan misi membela nasib rakyat dapat direalisasikan seterusnya berjaya memacu pembangunan negara berpaksikan perjuangan murni parti ini.
Yakin pengundi akan beralih arah
SETIAUSAHA Pas kawasan Pekan, Kapten (B) Ahiatuddin Daud yang pernah muncul calon pilihan Pas Dun Bebar pada PRU ke 12, berkata walaupun percubaan Pas merebut kerusi di Dun tersebut pada penggal lalu gagal, namun masih yakin pengundi BN kini beralih arah.
“Pengalaman lalu banyak beri pengajaran dan ia dijadikan bekalan kepada calon yang dipilih untuk merebut kerusi Dun milik calon BN baru berkhidmat sepenggal dan bakal goyah dengan cabaran daripada calon Pas. Saya percaya pengundi semakin matang dan lebih bijak menilai keupayaan calon yang berpengalaman dan berkemampuan untuk memahami kehendak lebih jelas serta bijak menyelesaikan masalah,” katanya.
Menurutnya, apa yang diharapkan ialah masyarakat dapat menilai kepimpinan individu yang dicalonkan agar nasib mereka terbela dan menemui penyelesaian yang sewajarnya. Berbekalkan kata-kata “Undilah calon terbaik dan bukan lambang parti serta mampu memikul amanah ALLAH bakal merealisasikan impian rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan