Lahad Datu: Malaysia menghentikan pengeluaran Kad Pengenalan Laut (SIC) kepada warga asing khususnya dari Selatan Filipina yang terbabit dalam aktiviti pertukaran barang di negeri ini, berkuat kuasa 15 April lalu.
Ia sebahagian daripada tindakan drastik kerajaan ke arah memperketatkan kawalan keselamatan dan operasi pemantauan di pantai timur Sabah susulan insiden pencerobohan pengganas, baru-baru ini.
Disalah guna
Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohamad Mentek, berkata perkara itu diputuskan selepas mendapati ia disalah guna pihak tidak bertanggungjawab bagi pelbagai tujuan jenayah.
Di Sabah, kegiatan pertukaran barang (barter trade) adalah aktiviti perniagaan tradisional, khususnya di pesisir pantai berhampiran gugusan pulau Selatan Filipina.
Penyediaan SIC bertujuan memudahkan mereka berulang alik tetapi ia dikesan disalah guna bagi melakukan jenayah dan berpotensi mengancam keselamatan negara, katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Terdahulu, beliau menyampaikan taklimat kepada media mengenai operasi ESSCOM dan perkembangan keselamatan di pantai timur Sabah.
Kesan seludup dadah, senjata api
Selain dadah, Mohamad berkata, pihaknya mengesan kemudahan itu diseleweng bagi menyeludup senjata api dan pemerdagangan manusia dengan berselindung di sebalik kegiatan pertukaran barang.
"Di Filipina, kegiatan tukar barang itu tidak diiktiraf sebagai perniagaan sah, oleh itu tiada sebab kita meneruskannya terutama selepas insiden pencerobohan. Mengikut peraturan, mereka yang diberikan SIC hanya dibenar tinggal tujuh hari di kawasan pelabuhan, namun perkara sebaliknya berlaku, katanya.
Mohamad berkata, sekurang-kurangnya 102 jenis bot kecil atau kumpit dikesan berulang-alik di antara Sabah dan beberapa pulau di selatan Filipina setiap tahun.
Bagaimanapun, katanya, hanya satu jenis memiliki dokumentasi sah dan ia menimbulkan kebimbangan kerana tiada rekod dimiliki.
Kita tidak tahu jenis barangan yang dibawa bot jenis lain, katanya.
Sementara itu, beliau berkata, dua lagi Pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Kudat dan Lahad Datu diwujudkan, menjadikan keseluruhan lima kemudahan itu dibina setakat ini di timur Sabah.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak termasuk pos kawalan bersepadu di Pulau Banggi, Kudat, khusus dalam menangani masalah warga asing dan kegiatan pencerobohan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan