KEMPEN Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin panas. Bukan sahaja ia berkisar dalam media - sama ada arus perdana, mahu pun pembangkang - atau di pentas-pentas politik, tapi juga di kalangan orang ramai.
Di mana-mana orang bercakap mengenai politik. Yang sebelah kerajaan, akan mempertahankan kerajaan, manakala yang pembangkang akan mempertahankan parti kesayangan mereka. Yang atas pagar pula akan mendengar dan tersenyum kecil.
Namun dalam banyak-banyak pandangan, pengikut Pas ini ditakrifkan sebagai totok. Mereka berada dalam satu kepompongan minda (mental block) yang cukup serius. Semua orang cakap pasal kerajaan, salah. Mereka sahaja yang betul.
Saya beranggapan golongan ini telah melalui satu proses indoktrinasi (cuci otak) yang terlalu lama. Mereka ini terlalu taksubkan para pemimpin, dan mengikut apa yang dikatakan oleh para pemimpin mereka.
Bayangkan sekiranya Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mengumumkan kalimah Allah boleh dipakai oleh orang Kristian? Bayangkan sekiranya Anwar Ibrahim, yang menghadapi pelbagai pertuduhan moral itu masih sebagai Timbalan Presiden UMNO? Apa pula kempen oleh golongan totok Pas ini? Sudah tentu ceritanya menjadi lain. Ia termasuklah oleh pemandu teksi yang akan kita ikuti kisahnya ini.
Ikuti dialog antara pemandu teksi yang mengaku kerja dengan kerajaan, tapi berkempen totok Pas di dalam teksinya, dengan seorang penumpang yang mempertahankan logik akalnya.
Ini adalah kisah benar, yang diceritakan kepada saya oleh penumpang itu.
Penumpang itu telah menaiki teksi bermeter dari hentian bas HKL ke Taman Tasik Titiwangsa pada hari Jumaat 1 Februari 2013 kira-kira pukul 5.30 petang dalam keadaan lalu lintas tidak lancar, sedikit sesak. Setelah menaiki teksi itu, penumpang (P) berkata hendak ke Taman Tasik Titiwangsa. Pemandu teksi (PT) itu kata OK. Penumpang duduk di kerusi hadapan sebelah pemandu. Sebaik-baik sahaja menaiki teksi, penumpang kebetulan membaca akhbar Utusan Malaysia. Tiba-tiba pemandu teksi itu menyampuk tanpa hormat kepada penumpang.
PT: Baca Utusan (merujuk kepada akhbar Utusan Malaysia), orang dah tak baca Utusan ni.
P: Kenapa, banyak berita kita dapat.
PT: Ini akhbar bohong banyak, auta, suka pelagakan orang.
P: Tak adalah, sebab you tak baca, jadi you tak tahu cerita sebenarnya. Harakah tu betul sangat ke? Kata Kerajaan Jepun bayar berbilion-bilion ringgit kepada Kerajaan Malaysia sebagai wang pampasan kepada veteran tentera dan wang itu lesap, betul ke? Dulu Harakah kata Felda bankrap, tahu-tahu peneroka dapat "durian runtuh".
PT: Betul! Kalau tak betul kenapa tak saman? Betul laa tuu. Utusan tu, dah banyak kali kena saman, kalah di mahkamah, kena bayar ganti rugi.
P: Sudah laa, Kedutaan Jepun dah nafi, berita itu tidak benar. Utusan kalah bukan bermakna Utusan itu berbohong, atau auta, atau sukakan pelagakan orang. Ia bergantung kepada kebijaksanaan peguam bela masing-masing. Dulu Abang Jak (penyokong Pas dari negeri Kelantan) pun didakwa di mahkamah di Kedah oleh penyokong UMNO kerana menunjukkan batang ***** kepada Puteri UMNO semasa kempen PRK, memang dia tunjuk batang *****, ramai orang nampak, tetapi mahkamah bebaskan dia kerana tidak cukup bukti. Sama laa dengan Utusan pun. Ada kes bunuh, kes edar dadah boleh bebas jika peguam bela bijak.
PT: Tak ada laa! Surat khabar (akhbar) pembangkang yang betul, saya kerja kerajaan (penjawat awam) di Jabatan Kesihatan DBKL, saya tahu semua, kerajaan BN korup, rasuah sana-sini, tindas rakyat. Pemimpin pembangkang OK bersih.
P: Kepala hotak (otak) kau, pemimpin-pemimpin pembangkang tu betul sangat ke? Mat Sabu, pemimpin No. 2 dalam Pas yang (didakwa) kena tangkap basah (khalwat) di Bilik 121 Hotel Perdana Kota Bharu satu ketika dulu pun didapati tidak bersalah oleh mahkamah kerana kekurangan bukti. Sudahlah, Mat Sabu tu mengarut, komunis dikatakan "Hero", hero kepala ***** dia.
PT: Memang Mat Indera tu hero, lawan polis penjajah British.
P: Itu bukan polis British, itu polis di bawah Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, you bodoh tak baca sejarah. Dah bunuh berpuluh polis kita, bakar hidup-hidup bersama budak-budak kecil dikatakan hero? Saya bekas tentera, pernah menerima latihan di Kem Komando (Pusat Latihan Peperangan Khas, Sg. Udang, Melaka), tak ada pulak Komandan beritahu komunis tu hero, yang kita tahu lawan komunis. Kalau hero sangat kenapa Mat Indera tu tidak dianugerahkan pingat PGB atau SP macam Kanang?
PT: Kerajaan BN bodoh, sudahlah, Kerajaan BN tindas rakyat, tidak jujur.
P: Pemimpin pembangkang tu baik sangat ke? Jika nak jadikan kerajaan ni jujur, pergi ambiklah (ambil) Imam Mekah atau Ketua Gereja di Vatican jadi Perdana Menteri Malaysia. Tahu tak Nik Aziz, Haji Hadi, Mat Sabut tu ikut telunjuk DAP? Kalimah Allah pun nak jual kepada orang kafir kerana politik punya pasal. Ini ke pemimpin Islam! Orang-orang Pas tu, nak pergi ke Mekah, dia check ke pilot kapal terbang tu orang jujur atau tidak? Kalau nak check semua, pergi ke Mekah dengan kapal layar buatan sendiri laa jawabnya. Orang lain dah balik dari Mekah, kita duk tengah laut lagi, silap hari bulan tenggelam mampus, makan dek ikan yu.
PT: Tak ada, pembangkang bagus. Tengok Kelantan maju, tak ada jenayah, aman je!
P: Sudah laa, you tak baca Utusan, sebab itu laa you tak tahu cerita sebenarnya. Buang bayi pun ada di Kelantan, buang bayi macam buang sampah, sembelih anak pun ada di Kelantan. Penagih dadah tak usah cakap laa! Pemimpin Pas kuat bohong, undi Pas masuk syurga! Quran mana Nik Aziz baca, kitab mana Nik Aziz baca? Tak usah cakap banyaklah, di Malaysia ni aman damai selamat, boleh pergi ke masjid tanpa gangguan, peluang ekonomi cukup luas, senang bergerak, pinjaman bank disediakan, macam-macam pinjaman ada, ini semua hasil kebijaksanaan pemimpin UMNO. You tak tengok laporan Utusan setiap hari, jadi you tak tahu cerita sebenarnya, pergi laa ke UiTM di Puncak Alam tu, you tengok macam mana. Kerajaan BN buat kampus baru UiTM untuk anak-anak Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak. Belum cakap lagi setiap negeri ada kampus UiTM. Sekarang setiap kampus itu hendak diperbesarkan lagi bagi menampung keperluan masa depan. Kerja Pas hanya maki hamun orang UMNO saja tanpa suluh jasa-jasa pemimpin UMNO terdahulu, tak sedar diri. Orang Asli pun tak kutuk pemimpin UMNO macam you ni. Di Malaysia ni dah lengkap dah. Otak you belum lengkap lagi sebab you hanya baca Harakah. Tahu tak? Kalau anak lelaki kita sangat pandai ada MCKK atau UPNM. Kalau anak perempuan kita sangat pandai ada Kolej Tengku Khursiah yang sebelum ini dipanggil "The Malay Girl College". Kalau anak kita jahat ada sekolah jahat Henry Gurney. Kalau kita gila ada hospital gila, kalau bini kita nak beranak ada hospital bersalin, kalau anak kita penagih dadah ada tempat pemulihannya Pengasih, kalau gagal masuk U ada IKM dan macam-macam lagi. You tak baca Utusan sebab tu laa otak you tak terbuka, you ni macam budak bodoh walaupun dah tua. Tahu tak? Nik Aziz kata dulu tahun 1999, Pas menang di Terengganu, Nik Aziz kata berpuluh-puluh ribu malaikat turun dari langit ke bumi membantu memegang tangan orang-orang UMNO untuk mengundi Pas. Bila kalah pada tahun 2004 Nik Aziz kata UMNO jahat bawa pengundi "hantu" dari KL ke Terengganu. Mana perginya malaikat itu? Pas lagi auta. Sudahlahhh, semua ada dalam poket seluar saya. Islam yang ada pada Nasharudin Mat Isa ditolak perwakilan Pas, perwakilan Pas pilih Islam yang ada pada Mat Sabu, nak muntah dengar! Cakapan Nik Aziz itu kotor laa, dah tua-tua pun kata kat Nasharuddin Mat Isa tu lidah panjang. Nik Aziz tu dah tak endah lagi pantang larang agama. Nik Aziz kata tidak boleh sambut Maulidur Rasul (hari kelahiran Rasulullah SAW) kerana perbuatan itu adalah "bidaah", tapi peliknya Nik Aziz sendiri menyambut hari jadinya di rumah Karpal Singh. Buruk betul perangai Nik Aziz tu dan tak layak dipanggil tok guru. Ok lah berhenti di sini, saya nak turun!
PT: (Pemandu teksi HB 7**2 itu masih tidak puas hati)
Kesimpulan daripada dialog itu, golongan yang terlalu taksub ini semakin ramai. Kita bimbang gejala ketaksuban dan kepompongan minda ini yang selama ini bercambah dalam masyarakat Taliban di Afghanistan akan berakar-umbi di sini.
Ingat lagi kisah remaja perempuan Afghan, Malala Yousufzai yang pernah saya tulis dalam Cuit? Dia ditembak di mukanya oleh militan Taliban hanya kerana gadis itu memperjuangkan hak pendidikan untuk golongannya. Ingatlah jika di peringkat tadika lagi anak- anak kecil pernah diasuh memijak gambar- gambar pemimpin negara, apa akan terjadi kepada mereka satu generasi lagi? Seperti pemandu teksi itukah? Atau lebih teruk?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan