1. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima Perisytiharan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung dengan pembubaran Dewan Rakyat. Pada 5 April 2013 semua Dewan Undangan Negeri juga telah dibubarkan dan pada hari ini SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas.
2. Menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan suatu pilihan raya umum di dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh pembubaran itu.
3. Bagi membantu SPR menjalankan pilihan raya itu, penyerahan writ oleh Pengarah-Pengarah Pilihan Raya Negeri kepada 222 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 1,088 Penolong Pegawai Pengurus akan dibuat. Bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR telah memutuskan untuk menubuhkan 379 Pegawai Penguat Kuasa yang juga merupakan Ketua bagi Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).
4. Bagi menjalankan PRU Ke-13 ini, SPR akan menggunakan
8,789 Pusat Mengundi yang mengandungi 26,219 Tempat Mengundi (Saluran). Bagi maksud Hari Pengundian Awal, sebanyak 544 Pusat Mengundi dengan 882 Tempat Mengundi akan dibuka. Manakala bagi Pengundian Biasa, sebanyak 8,245 Pusat Mengundi disediakan dengan 25,337 Tempat Mengundi akan dibuka.
5. Bagi tujuan membantu SPR menjalankan PRU Ke-13, seramai 234,905 orang petugas pilihan raya akan dilantik. Untuk PRU Ke-13, sebanyak RM400 juta peruntukan telah diperolehi oleh SPR bagi menjalankan pilihan raya ini.
6. Daftar Pemilih yang akan digunakan bagi PRU Ke-13 ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011, Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2012, Suku Tahun Kedua 2012, Suku Tahun Ketiga 2012 dan Suku Tahun Keempat 2012 yang dinyatakan dalam Notis Pewartaan yang akan diwartakan pada 11 April 2013. Daftar Pemilih Pilihan Raya itu mengandungi 13,268,002 orang pemilih yang terdiri dari 12,992,661 Pemilih Biasa, 161,251 orang Tentera dan pasangan, 111,136 orang Polis dan pasangan Polis Gerakan Am (PGA) serta 2,954 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) luar negara.
7. Daftar Pemilih Pilihan Raya dalam bentuk Cakera Padat (CD) bagi pilihan raya itu akan mula dijual pada 15 April 2013 dan dalam bentuk buku pada 19 April 2013. Para pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web SPR (www.spr.gov.my), Portal PRU Ke-13 (www.pru13.gov.my) atau melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPR <jarak> SEMAK <jarak> NO. KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 15 April 2013. Bagi semakan melalui SMS juga, SPR telah menyediakan kemudahan tambahan seperti yang berikut:
(a) 29292 bagi pengguna Celcom;
(b) 33080 dan 22789 bagi pengguna Maxis; dan
(c) 33080 bagi pengguna Digi.
Semakan boleh dibuat dengan menaip spr <jarak> no. kad pengenalan dan hantar kepada nombor-nombor tersebut.Para pengundi juga boleh menelefon Ibu Pejabat SPR di Putrajaya (03-8885 6565) dan Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri.
8. Sehubungan dengan itu, pada hari ini SPR yang terdiri daripada tujuh anggota Ahli Panel, iaitu saya selaku Pengerusi. Timbalan Pengerusi, Datuk Wira Haji Wan Ahmad Wan Omar dan lima Ahli lain, iaitu Datu Haji Ramji bin Alli, Datuk Dr. P. Manogran, Datuk Christopher Wan Soo Kee, Dato’ Haji Md. Yusop bin Haji Mansor dan Tuan Haji Abdul Aziz bin Khalidin telah mengadakan Mesyuarat Khas dan mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRU Ke-13 adalah seperti yang berikut:
Tarikh Keluar Writ:11 APRIL 2013 (KHAMIS)
Tarikh Notis Pilihan Raya:12 APRIL 2013 (JUMAAT)
Tarikh Penamaan Calon: 20 APRIL 2013 (SABTU)
Tarikh Mengundi Awal: 30 APRIL 2013 (SELASA)
Tarikh Mengundi: 05 MEI 2013 (AHAD)(Jika ada pertandingan)
05 MEI 2013 (AHAD)
9. Bagi memastikan proses pelaksanaan PRU Ke-13 ini berjalan lancar, SPR memohon agar semua pihak mematuhi undang-undang dan peraturan serta arahan pihak polis yang bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam semasa PRU Ke-13. Parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas dan para penyokong parti serta mana-mana individu lain yang akan terlibat semasa berkempen, hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya serta tatasusila berkempen sebagaimana yang ditetapkan oleh SPR.
10. SPR juga ingin mengingatkan calon-calon dan parti-parti yang bertanding mengenai kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Bahagian III Akta 5 menyenaraikan segala perbuatan rasuah yang jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan itu dia boleh dikenakan hukuman penjara dan denda. Kesalahan di bawah Bahagian III Akta 5 ini merupakan “kesalahan yang ditetapkan” di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mempunyai kuasa untuk menyiasat, mengikut peruntukan undang-undang, mana-mana orang yang melanggar mana-mana seksyen di bawah Bahagian III Akta 5. Sepanjang tempoh PRU Ke-13 ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memantau apa-apa aktiviti bagi memastikan mana-mana orang yang didapati melanggar Akta 5 akan disiasat dan jika mempunyai bukti yang lengkap, akan didakwa.
11. SPR juga ingin mengingatkan bahawa pada hari pengundian, tiap-tiap majikan dikehendaki memperuntukkan tempoh yang munasabah kepada pekerja-pekerjanya untuk keluar mengundi. Subseksyen 25 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memperuntukkan seperti yang berikut:
“25. (1) Tiap-tiap majikan hendaklah, pada hari mengundi membenarkan suatu tempoh yang munasabah bagi tiap-tiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi, dan tiada majikan boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan lain mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut daripadanya apa-apa penalti oleh sebab dia tidak hadir bekerja dalam tempoh itu.” .
12. Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi boleh, apabila disabitkan, didenda sebanyak lima ribu ringgit atau dipenjara selama satu tahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subsekyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
13. Maklumat-maklumat lain berhubung dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Ibu Pejabat SPR atau Pengarah-pengarah Pilihan Raya Negeri atau Pegawai-pegawai Pengurus Pilihan Raya berkenaan.
Sekian dimaklumkan dan dan terima kasih.
(TAN SRI DATO’ SERI ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSOF)
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
10 April 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan