Isnin, 8 April 2013

Percaya dan Yakin

Alhamdulillah atas nikmat kurniaan-NYA kerana hari ini manusia lain masih lagi melihat aku, dan aku juga masih lagi melihat mereka. Hanya pandanganku sahaja yang terbatas. Betapa hebat dan agungnya kekuasaan-MU ya ALLAH. Tiada seni yang mampu mengalahkan kesenian hasil ciptaan-MU. Tidak jemu mata ini memandang setiap ciptaan dan kebesaran-MU kerana mata ini juga adalah merupakan bukti kebesaran-MU. ALHAMDULILLAH...
Hari ini aku nak kongsikan sedikit sahaja sekadar untuk menjawab persoalan yang kini menjadi tajuk utama dalam entri kali ini.
Apakah perbezaan antara PERCAYA dan YAKIN?
KISAH 1
Tersebutlah alkisah mengenai seorang pemuda yang hebat dalam melontar lembing. Kehebatan dan ketepatannya dalam melontarkan lembing memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Jika diletakkan buah tembikai di suatu tempat pada jarak lebih kurang 50 meter, dia mampu melontarnya dengan tepat sekali. Diletakkan buah limau pun masih tepat. Diletakkan apa-apa sahaja, semuanya dapat dilembing dengan tepat. Maka, semua orang yang melihat aksinya itu, PERCAYA bahawa dia seorang pemanah handalan.
Tiba-tiba dia mencabar seorang penonton untuk berdiri pada jarak 50 meter dengan sebiji buah limau diletakkan di atas kepalanya. Dia mahu melembing buah limau itu. Maka, tatkala itu, agak-agaklah, apakah ada orang yang berani menampilkan diri??
Jika ada, maka orang itu telah memiliki sifat YAKIN.
KISAH 2
Alkisah seorang pemuda yang telahpun ditawarkan pekerjaan. Majikannya memberitahu kepadanya bahawa gaji/upahnya adalah sebanyak RM100 000.00 sebulan walaupun pekerjaannya hanyalah sebagai tukang sapu. Pemuda tersebut PERCAYA akan kata-kata majikannya itu dan menjalankan pekerjaannya.
Tibanya hujung bulan. Maka majikannya memberikan jumlah gaji seperti yang diperkatakannya pada bulan lepas kepada pemuda tersebut. Akhirnya, pemuda tersebut betul-betul YAKIN bahawa gajinya memang dalam jumlah tersebut.
.....................................................
Begitulah kehidupan kita sekarang. Bila dikhabarkan tentang solat berjemaah itu darjatnya 27 kali ganda lebih besar dari solat sendirian. Maka, kita pun PERCAYA. Bila diceritakan tentang perihal syurga dan neraka. Kita pun PERCAYA. Bila diperkatakan tentang besarnya fadhilat dalam berpuasa. Kita juga PERCAYA akannya.
Bila masjid kosong atau kurang jemaahnya, ramai yang tidak mentaati perintah ALLAH dan ada yang tidak mahu berpuasa. Di situlah terjawabnya samada kita hanya sekadar mempercayainya atau betul-betul menyakininya.
Aku ingin ambil sedikit kata-kata dari ustaz yang pernah bagi tazkirah pada suatu masa dahulu (kata-kata ni sebenarnya sekadar nak bagi kekuatan pada diri untuk memperkuatkan diri dalam beramal).
Sekarang fira'un pun telah ada keyakinan 100% terhadap ALLAH SWT setelah melihat dengan mata kepalanya sendiri akan betapa dahsyatnya seksaan ALLAH. Nak jadi macam tu?? Dah masuk dalam kubur baru nak yakin? Baru nak menyesal? Baru nak bertaubat?
Dugaan dan ujian ALLAH SWT tu memang ada. Tak dinafikan bahawa ada manusia yang mampu menghadapinya dan ada juga sebaliknya. Namun, disitulah terletaknya kekuatan iman yang ada pada diri seseorang tu. Makin hebat dan tinggi ujian yang ALLAH SWT berikan, makin sayanglah ALLAH kat orang tu. Jangan risau dan bersedih. Hari bahagia yang kekal abadi tu akan tiba jua akhirnya. Bersabarlah duhai hati..
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan, 'Kami telah beriman', sedang mereka belum diuji?" (al-Ankabut: 2)
Wallahu 'alam bissawab...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan