Semasa menonton Buletin Utama TV3 Khamis lalu, saya terdengar pengumuman bahawa manifesto BN yang akan dilancarkan pada 6 April, di Stadium Bukit Jalil, akan disiarkan secara langsung.
Pada pagi Jumaat, ketika bersiap-siap ke pejabat, pandangan saya terpaku kepada siaran Astro Awani, yang turut menghebahkan siaran langsung pembentangan Pengerusi BN, Najib Razak itu, melalui tiga saluran tiga bahasa utama.
Malamnya, ketika begitu banyak iklan bukan komersil yang cuba berselindung daripada motif politik BN yang sarat, dengan klip video lagu-lagu pelbagai rentak mengasak mata dan telinga penonton di waktu puncak, saya perasan TV3 menyiarkan lagu khas BN Selangor. Tak pasti sama ada TV3 mengenakan bayaran untuk slot iklan itu.
Segera terlintas dalam fikiran saya tawaran slot 10 minit siaran rakaman manifesto PRU13 kepada setiap parti yang bertanding. Memalukan, sekali gus menghina! Jelas khalayak mahu diperbodohkan. Dr Rais Yatim yang mempunyai PhD berkaitan demokrasi telah merendahkan diri dan partinya sendiri ke tahap paling bawah.
Kesimpulannya, tuntutan akses media untuk memudahkan kempen pilihan raya hanya menjadi bahan persendaan elit politik Umno. SPR pula langsung tidak bersikap proaktif, malah mengunci mulut daripada memberi perincian terhadap perjalanan kerajaan sementara.
Dari sisi lain, rakyat semakin jelak dan muak dengan aksi melampau pemimpin Umno-BN yang terus mengawal mutlak media untuk propaganda murahan berkempen PRU13. Stesen TV kini sudah menjadi bilik gerakan BN. Tepat seperti kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, indeks kebebasan media di negara kita setaraf dengan negara-negara mundur di Afrika.
Dalam pada itu, saya perhatikan tidak ramai orang berbicara soal tempoh kempen minimum apabila lebih sibuk membuat tekaan hari penamaan calon dan pengundian. Tanpa sedar kita telah menerima kempen singkat; di zaman Dr Mahathir Mohamad, tempohnya di bawah 10 hari. Hanya pada 2008, Abdullah Ahmad Badawi memanjangkan kepada 13 hari.
Untuk membuktikan transformasi politiknya, Najib perlu menimbangkan tempoh dicadangkan Bersih, iaitu 21 hari, selain berdada lapang membenarkan rakyat mendapat maklumat secukupnya daripada semua parti bertanding, melalui media awam, khususnya TV. Jangan pula ada yang menyindir: "Lebih mudah mencari kucing bertanduk berbanding menanti ehsan Najib."
II.
Petang Khamis lalu, lima aktivis pelajar UKM, termasuk Presiden Gamis dan Pengerusi Tolak (Gelombang Anak Muda Tolak Umno-BN), Azan Safar berkunjung ke rumah saya.
Agak teruja saya mendengar komitmen tinggi anak-anak muda melakukan kempen jelajah seluruh negara -- didahului dengan perhimpunan lebih 300 siswa di hadapan Seri Perdana -- terutama untuk mendapatkan tandatangan sepanjang 1km, kira-kira membabitkan dua juta rakyat Malaysia, bagi menolak penguasaan Umno-BN hampir enam dekad.
"Simbolik pelancaran TOLAK di hadapan Ibu Pejabat Umno di PWTC adalah mesej jelas anak muda tidak gentar dan bersedia memimpin perubahan untuk Malaysia yang lebih baik. Bahkan, kita akan pastikan gelombang ini akan menjadi tekanan besar buat UMNO-BN di fasa akhir menjelang PRU13 ini. Ayuh kita bersama menggerakkan gelombang perubahan ini," kata Azan dalam kenyataan awal 15 Mac lalu.
Manakala pelancaran kutipan tandatangan bagi merubah kepimpinan negara diadakan di kompleks membeli-belah Sogo, 3 April. Tolak menyenaraikan tujuh alasan mengapa Umno-BN perlu ditolak, di antaranya: "Umno-BN mengamalkan rasuah dan kronisme sebagai budaya dalam parti dan pentadbiran negara; Umno-BN gagal menguruskan ekonomi negara sehingga membebankan rakyat dengan hutang dan kos sara hidup yang tinggi; Umno-BN campur tangan dalam IPT dan menyekat kebebasan akademik mahasiswa dan universiti; Umno-BN menafikan hak rakyat dan mengadaikan kepentingan bangsa Melayu."
Selepas menikmati nasi beriani masakan isteri, saya diberitahu Azan bahawa esoknya, selepas solat Jumaat, mereka bersama NGO yang bersama Tolak akan mengadakan sudut pidato di Masjid Negara. Seterusnya hari Sabtu, Tolak akan memulakan kempen jelajah seluruh Malaysia, bermula di Kuala Lumpur ke Terminal One, Seremban, menaiki tren.
Sebenarnya, selain mendengar tekad mereka untuk mencetuskan perubahan dalam PRU13, saya lebih terkesan dengan "penindasan" berterusan pihak universiti terhadap gerakan pelajar yang dikuasai Pro-M, seperti di UKM.
Majlis Perwakilan Pelajar (dilihat tidak cenderung dengan Umno-BN) yang mendapat mandat sah majoriti mahasiswa langsung tidak dihormati. Urusetia Hal Ehwal Pelajar telah mengambil alih banyak peranan PMUKM dan lebih menjolok mata, membekukan kegiatan tradisi persatuan sehingga berakhirnya PRU13. Satu tindakan cukup melampau.
Ya, idea pembaharuan Timbalan Menteri KPT, Saifuddin Abdullah -- yang banyak bercakap soal politik baru dan proses pendemokrasian alam kampus -- sebenarnya telah dibakul-sampahkan oleh elit universiti yang masih dikongkong bebalisme dan fahaman lapuk.
Biarpun Auku dipinda dan membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, termasuk untuk menjadi calon pilihan raya, kekangan aktiviti dalaman kampus tetap seperti pelajar sekolah. Pimpinan kampus masih diperbudakkan. Sebarang peraturan, termasuk yang bersifat karut-marut dan antiintelektual, mudah saja untuk diperkenal dan dikuatkuasakan.
"Sepatutnya rakan-rakan pimpinan kampus bersuara lantang menjerit memberitahu dunia tentang tekanan berterusan yang mereka hadapi," reaksi saya tidak puas hati. "Dan ia menjadi bukti apa yang didakwa transformasi Najib Razak adalah pura-pura belaka. Masyarakat luar langsung tidak tahu, sampai ke peringkat itu HEP menindas PMUKM."
III.
Saya tertarik dengan tulisan kolumnis terkemuka Karim Raslan dalam Sinar Harian dan The Star bahawa parti politik memang mampu berubah walaupun telah lama memegang tampuk kuasa tetapi dengan syarat mereka perlu ditewaskan terlebih dahulu, sebelum pembaharuan berlaku.
Beliau memberi contoh Parti Kongres di India, Parti Demokrat Liberal (LDP) di Jepun dan Parti Revolusi Berinstitusi (PRI) di Mexico. Kongres, parti politik tertua di India, yang dikalahkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pada 1996 kembali dengan kemenangan besar pada 2004 selepas pucuk pimpinannya memodenkan parti itu.
PRI yang memerintah Mexico selama 71 tahun mengamalkan rasuah, salahguna kuasa dan penipuan. Pemenang Anugerah Nobel dari Peru, Mario Vargas Llosa, menyifatkan regim PRI sebagai "diktator sempurna".
Apabila Enrique Pena Nieto, 46 tahun, dipilih sebagai Presiden Mexico pada akhir 2012, selepas partinya, PRI kalah pada tahun 2000, rakyat bimbang mereka akan kembali diseret ke era yang sinonim dengan penyelewengan.
Tetapi Pena Nieto pantas memberi kejutan dan antara langkah awalnya adalah mengajak parti-parti politik Mexico menandatangani "Pact for Mexico", dokumen yang menjanjikan pembaharuan menyeluruh termasuk ketelusan pengendalian hal-hal kewangan kerajaan tempatan dan memecahkan monopoli dua syarikat telekomunikasi.
"Kesimpulannya," tulis Karim Raslan, "parti politik boleh berubah dan krap sekali pengalaman pahit berada di bangku pembangkang yang mencetuskan perubahan positif ini. Terpulanglah kepada teman-teman di sini memikirkannya."
Justeru, mengambil iktibar analisis dibuat Karim Raslah itu, "selamatkanlah" Umno-BN yang memerintah negara sejak merdeka 57 tahun lalu dengan memberi peluangnya berehat, kalaupun tidak terus bersara!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan