Selasa, 16 Julai 2013

Dayang Nurfaizah Tolak Jodoh Pilihan Keluarga

PENYANYI bersuara gemeresik, Dayang Nurfaizah mengakui pertama kali dilatih menjalani ibadah puasa adalah pada usia tujuh tahun.

Begitupun, dedah penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu, dia yang berpuasa ketika itu tidak berjaya menahan diri lalu membuka puasa dengan secawan air sejuk. Akibatnya, Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, dipukul oleh ibunya.

"Mak memang sangat tegas. Umur tujuh tahun lagi dia sudah suruh Dayang puasa. Tetapi belum sempat waktu berbuka Dayang tidak tahan lalu meminta nenek air untuk minum. Bila mak dapat tahu dia sangat marah dan mencubit Dayang dengan kuat," ungkapnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Hotel Prince, Kuala Lumpur.

Kesan daripada amarah dan cubitan ibunya, sejak daripada itu Dayang tidak pernah ponteng puasa kecuali jika dia datang bulan. Mengimbau kenangan berpuasa ketika kecil, ujar Dayang, dia selalu mengikut ibunya bertadarus dan solat tawarih.

"Dayang selalu ikut mak tadarus dan tawarih. Ketika tadarus, Dayang sekadar ikut dan dengar sahaja tetapi satu hari Dayang sertai sama tanpa pengetahuan mak. Dia terkejut tetapi gembira," ujarnya.

Gosok baju

Berkongsi aktiviti puasanya pada tahun ini pula, tutur Dayang, dia mendapat banyak tawaran menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Dalam masa yang sama, jelas Dayang, dia juga sedang mencari lagu baharu untuk dijadikan single terbaharu selepas hit dengan lagu Bisikan Rinduku.

"Lagu Bisikan Rindu itu dibuat khas untuk lagu runut bunyi drama Dahlia. Kalau boleh Dayang mahu sebuah single untuk Dayang sendiri," ungkapnya yang gembira kerana sambutan puasanya lebih teratur selepas keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur.

Ditebak apakah makanan yang disukai semasa berbuka puasa, ulas Dayang, dia sangat merindui ikan terubuk bakar Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, menu tersebut tidak ada di Kuala Lumpur.

Terlanjur bersembang tentang puasa, Dayang turut bercerita tentang sambutan Aidilfitrinya.

Ceritanya, setiap tahun, dia akan pastikan anak-anak buahnya memperoleh baju raya baharu. "Setiap kali nak raya, Dayang sibuk beli baju untuk anak-anak buah dan juga tempah kek lapis. Baju raya Dayang sekadar dua pasang sudah memadai," ujarnya.

DAYANG NURFAIZAH meraikan seramai 53 orang anak yatim daripada Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia dengan kerjasama Hotel Prince Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bakal pulang ke Kuching dua minggu sebelum raya, ungkap Dayang, dia tidak pernah membuat rumah terbuka untuk peminatnya. Begitupun, jelasnya, rumahnya sentiasa terbuka untuk peminat datang berhari raya.
Dayang turut berkongsi mengenai pengalaman menggosok baju anak buahnya sehingga terbakar dan berlubang.
"Dayang sebenarnya tidak suka gosok baju. Tetapi, masalahnya sejak kecil lagi Dayang memang gosok baju sekolah sendiri. Ada baju sekolah yang Dayang gosok sampai jadi warna kuning. Begitu juga, baju raya anak buah Dayang. Kesian dekat dia terpaksa pakai baju biasa sebab baju raya berlubang digosok Dayang," ungkapnya sambil ketawa mengenangkan peristiwa tersebut.
 
Acap kali bertemu dengan Dayang, pasti soalan bilakah dia akan menamatkan zaman bujang diajukan kepadanya. Akui bosan apabila sering ditanyakan soalan tentang kahwin, luah penyanyi berusia 32 tahun itu, dia sebenarnya teringin mempunyai anak, tetapi sehingga kini dia belum bertemu jodoh apatah lagi berumah tangga.
"Sebenarnya bila melihat kanak-kanak, hati saya terdetik teringin untuk mempunyai seorang anak. Tetapi hendak buat macam mana jodoh saya belum sampai," ungkapnya.
Ditebak tidakkah dia teringin mengambil anak angkat seperti kebanyakan artis lain, dedah Dayang, dia tidak berani dan menganggap tanggungjawab tersebut terlalu besar.
"Saya tidak berani ambil anak angkat. Besar sangat tanggungjawab itu. Saya perlu bersedia dari segi mental. Saya hormat dengan orang yang sanggup ambil anak angkat malah menjaganya dengan baik," akuinya.
Kejutan hari lahir
Satu malam amal berbuka puasa untuk penghuni rumah kebajikan terpilih di bawah seliaan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) bersama Dayang dengan kerjasama Hotel Prince Kuala Lumpur telah berlangsung pada malam kedua Ramadan lalu.
Pada majlis tersebut, ratu R&B itu mendendangkan lagu-lagu seperti Hari Mulia, Dayang Sayang Kamu dan Seandainya Masih Ada Cinta untuk anak-anak yatim tersebut. Menariknya, dalam kemeriahan majlis berbuka tersebut, penyanyi dari Bumi Kenyalang itu menerima kejutan apabila diraikan dengan sambutan hari lahirnya yang ke-32 tahun.
Majlis pada malam itu turut disertakan dengan alunan ghazal secara langsung oleh Seri Nusantara 2 serta aktiviti sampingan seperti meniup belon dan mewarna untuk anak-anak yatim.
Setiap daripada anak-anak yatim itu telah mendapat sumbangan khas berupa beg saguhati serta duit raya oleh Pengarah Urusan Hotel Prince Kuala Lumpur, Tim Quarm.

http://www.kosmo.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan